Jefri Ngadirin: Sepaktakraw Kini Dalam Kelas Tersendiri – Jefri Ngadirin

(KUALA LUMPUR), 29 Jun 2025 –
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Encik Jefri Ngadirin memuji pencapaian terkini Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang disifatkan telah melonjak ke tahap lebih tinggi berbanding sebelum ini di bawah kepimpinan Datuk Sumali Reduan dan barisan ahli majlisnya.

Menurut beliau, perkembangan positif ini menjadi penanda aras bukan sahaja kepada sukan sepaktakraw, malah kepada persatuan-persatuan sukan lain di negara ini dalam membentuk hala tuju yang lebih cemerlang dan berstruktur.

“Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Sumali kerana terpilih semula sebagai Presiden PSM. Ini menunjukkan keyakinan komuniti sukan terhadap kepimpinannya. Saya berharap beliau akan terus membawa sepaktakraw ke tahap lebih gemilang, bukan sahaja di peringkat nasional, malah antarabangsa,” kata beliau.

Tambah Encik Jefri, penubuhan Akademi Sepaktakraw yang bakal diwujudkan di seluruh negara merupakan inisiatif penting dalam pembangunan jangka panjang sukan tersebut. Akademi ini akan berfungsi sebagai ‘rumah sendiri’ untuk komuniti sepaktakraw – merangkumi pusat kecemerlangan latihan, kejurulatihan serta penganjuran pertandingan.

“Komponen ini sangat penting dalam pembangunan sukan. Kita telah lihat hasilnya. Sepaktakraw kini bukan sahaja membuktikan kemampuannya malah telah mencipta kejayaan yang tidak dijangka sejak tahun lalu,” ujarnya.

Encik Jefri turut menyatakan harapan agar kerajaan terus memberikan sokongan kepada pasukan negara dalam temasya sukan akan datang, termasuk Sukan SEA di Thailand dan Sukan Asia di Nagoya. Beliau juga menjangkakan kejayaan lebih besar bakal dicapai apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada bulan Julai ini.

#SepaktakrawMalaysia #SukanNegara #BangkitTakraw #AkademiSepaktakraw #RoadToSukanSEA #MajlisSukanNegara #SukanAsia2026 #TakrawGemilang #MalaysiaBoleh #SukanUntukNegara

Leave a Reply