KUALA LUMPUR, 27 Jun 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu jaringan gerakan militan radikal membabitkan 36 warganegara Bangladesh menerusi operasi keselamatan terancang yang dilaksanakan secara berfasa sejak 24 April lalu.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, operasi ini dilaksanakan dalam tiga fasa melibatkan kawasan di sekitar Selangor dan Johor. Hasil siasatan mendapati kumpulan tersebut membawa masuk fahaman ekstremis berpaksikan ideologi Islamic State (IS) serta menjalankan aktiviti pengrekrutan dalam kalangan komuniti mereka.
“Tindakan mereka termasuk mengindoktrinasikan fahaman radikal, mengumpul dana untuk aktiviti keganasan, dan merancang untuk menjatuhkan kerajaan sah di negara asal mereka,” jelas beliau.
Lima daripada suspek telah didakwa di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan di Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru. Sementara itu, 15 lagi dikenakan perintah pengusiran dan 16 orang masih disiasat lanjut.
Kejayaan operasi ini adalah hasil tindakan bersepadu dan risikan oleh Cawangan Khas PDRM, yang menurut Menteri Dalam Negeri, membuktikan komitmen serius Kerajaan Madani dalam memelihara keselamatan serta kedaulatan negara.
“Malaysia tidak akan menjadi medan anasir subversif atau pusat transit bagi mana-mana gerakan ekstremis asing,” tegas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan terus memperkukuh keupayaan risikan, meningkatkan penguatkuasaan, serta mempererat kerjasama dengan agensi keselamatan dalam dan luar negara bagi memastikan Malaysia kekal aman dan bebas dari ancaman keganasan.


#KeselamatanNegara #PDRM #AntiKeganasan #MalaysiaAman #GerakanMilitan #KerajaanMadani #KDN #TiadaKompromi #PolisBerwibawa #TangkapEkstremis #SaifuddinMesraRakyat #IntegritiSaifuddin #BersamaTanpaJarak
#PemimpinBerjiwaRakyat #PemimpinBolehHarap #SaifuddinDekatDiHati #TulusBersamaSaifuddin #RakyatDiHati
#KerjaBukanRetorik
#PemimpinTanpaGimik #LangkahSaifuddin