KUALA LUMPUR, 13 Julai 2025 – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir hari ini menekankan kepentingan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai antara asas utama dalam memperkukuh pembangunan sumber manusia negara.

Dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa, beliau menyatakan bahawa pihak kerajaan sedang menilai semula keberkesanan Kolej Komuniti, terutama dari segi penawaran kursus yang relevan dengan keperluan setempat serta potensi kerjaya.

“Model Kolej Komuniti di kawasan bandar akan dilihat semula. Kita akan bawa cadangan ini ke peringkat Politeknik dan Kolej Komuniti untuk dinilai,” jelas beliau.

Dato’ Sri Zambry turut mengumumkan inisiatif laluan khas untuk pelajar Kolej Komuniti yang berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti Politeknik dan Universiti Teknikal, bergantung kepada kelayakan dan kursus yang diikuti.

“Kita tidak mahu mereka hanya belajar kursus seperti masakan sahaja, walaupun itu penting. Tetapi kita juga mahu lihat program-program kemahiran teknikal yang mampu membuka peluang kerjaya lebih luas,” katanya.

Beliau menekankan bahawa dasar baru ini turut merangkumi prinsip Pembelajaran Sepanjang Hayat, bagi membuka ruang kepada belia dan komuniti luar bandar yang memiliki kemahiran, tetapi tidak mendapat akses kepada pendidikan formal.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan keperluan untuk meneruskan “Politik Khidmat”, terutamanya dalam konteks kawasan bandar yang memerlukan pendekatan berasaskan kebajikan dan pembangunan kapasiti rakyat.

“Meskipun ada kawasan yang kita tidak menang atau tidak bertanding, UMNO tetap terus berkhidmat. Inilah roh sebenar parti kita: Bersatu, Bersedia, Berkhidmat,” tegasnya.

#ZambryAbdulKadir #KolejKomuniti #TVETMalaysia #UMNOSetiawangsa #PolitikKhidmat #PendidikanUntukSemua #BeliaBerjaya #LaluanTVET #BersatuBersediaBerkhidmat #AgendaBangsaNegara

Leave a Reply