KUALA LUMPUR – Juicy Luicy, kumpulan pop alternatif yang popular dari Indonesia, disahkan sebagai artis utama bagi Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025, sebuah acara muzik berkonsep inspiratif yang bakal berlangsung pada 17 Ogos 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Festival ini dianjurkan oleh Expoindo bersama rakan kerjasama tempatan, Thrive dan menjanjikan pengalaman berbeza buat pengunjung  bukan sekadar konsert muzik biasa, tetapi sebuah platform yang merangkum hiburan, inspirasi dan penceritaan peribadi daripada para artis.

Menurut penganjur, RIF membawa aspirasi untuk menjadi medium yang menyatukan muzik dengan mesej-mesej yang membina dan menyentuh jiwa.

Nama “Ruang Inspirasi” sendiri dipilih bagi mencerminkan usaha mereka menyediakan satu ruang bagi peminat dan artis saling berkongsi bukan sahaja melodi, tetapi juga nilai kehidupan.

“RIF bukan sekadar tempat hiburan. Ia adalah ruang untuk menyemai inspirasi dan membina hubungan yang lebih mendalam antara artis dan peminat.

“Kami memilih Juicy Luicy sebagai artis utama kerana karya-karya mereka sangat dekat dengan jiwa anak muda, sarat dengan emosi dan kejujuran,”  kata Bram Tulong, wakil Expoindo.

Kumpulan Juicy Luicy tidak asing bagi peminat muzik Malaysia, khususnya mereka yang mengikuti perkembangan muzik Indonesia.

Lagu-lagu mereka seperti Lantas, Lampu Kuning, dan Sialan sering menjadi siulan dan mencetuskan resonansi emosi dalam kalangan pendengar.

Justeru, kehadiran mereka ke pentas RIF dijangka menjadi tumpuan utama festival tahun ini.

Uniknya, selain persembahan muzik, RIF turut memberi ruang kepada artis-artis untuk berkongsi kisah perjalanan mereka dalam industri muzik satu pendekatan yang jarang ditampilkan dalam penganjuran konsert berskala besar.

Pendekatan ini dijangka memberikan impak emosi yang lebih kuat kepada penonton, menjadikan setiap persembahan lebih bermakna dan menyentuh hati.

“Kami mahu setiap penonton rasa mereka sebahagian daripada perjalanan itu.

“Mendengar kisah sebenar di sebalik lagu-lagu kegemaran mereka akan menjadikan pengalaman menonton lebih peribadi dan berkesan,” kata Bram lagi.

Penganjuran RIF 2025 juga dilihat sebagai langkah pertama dalam misi jangka panjang Expoindo untuk memperluas festival ini ke seluruh Malaysia, menjadikannya sebagai platform serantau yang menghubungkan artis dari Indonesia dan Malaysia, serta mengeratkan lagi hubungan budaya antara dua negara.

Sementara itu, Johnathon Wong dari BBO Events berkata, pihaknya berharap RIF bukan sahaja menjadi medan hiburan, tetapi turut memainkan peranan dalam menyebarkan nilai-nilai positif kepada masyarakat melalui kekuatan muzik.

Sebagai tarikan tambahan, festival ini akan menampilkan dua sesi persembahan dalam satu hari iaitu pada waktu tengah hari dan malam.

Penjualan tiket bagi sesi malam yang menampilkan Juicy Luicy telahpun dibuka sejak 3 Julai 2025, dengan harga pra-jualan seperti berikut:

-RM528 (Presale VVIP – Seated)

-RM328 (Presale VIP – Seated)

-RM258 (Presale Gold – Seated)

-RM158 (Presale Platinum – Standing)

-RM128 (Presale Silver – Seated)

Tiket boleh diperoleh melalui aplikasi BBO Events atau laman web rasmi ri-fest.com/kualalumpur.

Pengumuman mengenai barisan artis fasa kedua turut dijangka diumumkan dalam masa terdekat, menjadikan RIF 2025 sebagai salah satu acara muzik yang paling dinanti pada tahun ini.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti laman Instagram dan TikTok rasmi di @rifest.my.

By Cynthia

Leave a Reply