KUALA LUMPUR, 16 Julai 2025 – Langit Genting Highlands bakal dihiasi aksi-aksi luar biasa apabila lebih 50 penerjun profesional dari seluruh dunia berhimpun sempena penganjuran Genting Highlands International BASE Jump 2025, sebuah acara sukan ekstrem berprestij anjuran Hoverland Sdn Bhd dengan kerjasama Kelab Ababil Base Jump.
Acara yang akan berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober 2025 ini bertempat di Wyndham Grand Ion Majestic Hotel, pada ketinggian mencabar 6,106 kaki dari aras laut, menjadikannya antara lokasi tertinggi di rantau ini bagi penganjuran sukan BASE jump.


Bertemakan “Naturally Fearless”, acara ini meraikan semangat luar biasa atlet sukan ekstrem yang berani menakluk ketidaktentuan alam dan ketinggian dengan keberanian mental, fizikal dan emosi — sekaligus mencerminkan gaya hidup penerjun bebas dan tidak gentar.

Hoverland, lokasi rasmi acara ini, turut memahat sejarah apabila diiktiraf sebagai “Dek Pemerhatian Tertinggi di Malaysia” oleh Malaysia Book of Records pada 29 April 2025. Sejak pembukaannya pada Mei, Hoverland telah menjadi ikon pelancongan baharu bagi pelancongan altitud tinggi.
Penganjuran ini sejajar dengan misi Tahun Melawat Malaysia 2026, sekaligus mengukuhkan jenama Malaysia sebagai destinasi sukan ekstrem dan pelancongan berinovasi. Lebih membanggakan, acara ini berjaya menarik penyertaan atlet antarabangsa dari AS, Australia, Brazil, Jerman, Itali, Rusia, Singapura, Ireland dan banyak lagi.

Reputasi Kelab Ababil Base Jump dalam menganjurkan acara mega seperti KL Tower Jump, Putrajaya BASE Jump, dan Wisma Sanyan International BASE Jump sebelum ini telah memberi impak besar kepada industri pelancongan dan ekonomi tempatan.

Demi menjamin keselamatan maksimum, latihan percubaan telah diadakan pada 5 dan 6 Julai 2025 melibatkan lapan penerjun profesional. Sistem keselamatan menyeluruh turut digerakkan termasuk kehadiran pasukan perubatan, ambulans, PDRM, JBPM dan APM.
Penganjuran turut mendapat suntikan sokongan daripada NCT Alliance Bhd, selaku penaja utama, yang juga pemaju projek Grand Ion Majestic. NCT sebelum ini pernah menganjurkan NCT 6000 ft Run-Up: Towerrunning National Championship 2024, menjadikan mereka antara penyokong kuat dalam mempromosikan pelancongan sukan dan gaya hidup sihat.

Penganjur menjemput orang ramai, pelancong, media dan peminat sukan ekstrem untuk hadir menyaksikan sendiri keberanian atlet ekstrem dunia melayang di langit Genting — satu pengalaman yang jarang dan tidak wajar dilepaskan.
#GentingBaseJump2025n#NaturallyFearless #ExtremeSportsMalaysian#HoverlandAdventure #VisitMalaysia2026 #AdrenalineRush #BaseJumpGenting #MalaysiaTourism #FearlessHeights #SkyIsNotTheLimit