KUALA LUMPUR, 17 Julai 2025 – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan tampil mengingatkan semua pihak agar berhenti membuat spekulasi politik sebelum masanya. Dalam satu kenyataan bersemangat, beliau menggunakan analogi “biar kuda sampai ke sungai” bagi menggambarkan keperluan untuk menunggu masa yang tepat sebelum membuat penilaian atau keputusan politik yang besar.
“Saya bercakap sebagai peribadi, bukan mewakili UMNO Malaysia. Tapi saya percaya UMNO harus belajar daripada sejarah dan parti lain. PKR sebagai contoh, telah lahir dari jalanan, dan kini sedang berdepan masalah dalaman kerana budaya nepotisme yang berakar umbi,” ujar beliau.
Dr. Azam turut mengkritik pendekatan PKR dalam isu pelantikan dalaman serta menyatakan bahawa rakyat sudah mula menolak pendekatan populis dan politik keluarga.
Menurut beliau, Barisan Nasional (BN) kekal bersama Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) seperti yang telah ditegaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Bila Datuk Zahid cakap ‘No DAP, No BERSATU’, itu sebelum PRU15. Selepas keputusan keluar, takdir politik berubah. Kita menang 26 kerusi dan terpaksa membuat keputusan demi kestabilan negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa UMNO tidak meminta sedekah jawatan, tetapi memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik pasca PRU15.
“Bukan masa untuk kita gaduh soal solo atau tidak. Kita tunggu dan lihat. Ketika kuda sampai ke sungai, sama ada ia minum atau tidak – itulah masa kita akan tahu halatuju sebenar,” tambahnya lagi, menegaskan bahawa politik bukan medan untuk overclaim kerana rakyat sudah bijak menilai.
Mengakhiri kenyataannya, beliau menyeru seluruh jentera UMNO untuk terus berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira jumlah kerusi dimiliki.
“Fokus kita bukan gaduh politik, tapi bangunkan negara. Kita berkhidmat bukan kerana angka kerusi, tetapi kerana tanggungjawab terhadap rakyat, nusa dan bangsa,” tegas beliau.
#UMNOBangkit #PRU16 #BarisanNasional #DrAzamRauzan #KerajaanPerpaduan #PolitikMalaysia #BiarkanKudaSampaiKeSungai #PKRvsUMNO #RakyatBijakMenilai #FokusBangunkanNegara