KUALA LUMPUR – Sukan tempur bakal menyaksikan revolusi tersendiri apabila Asia Championship 2025 dilancarkan sebagai sebuah kejohanan yang menggabungkan kekuatan fizikal dengan pengaruh digital.
Berlangsung pada 18 Oktober ini, kejohanan itu menjanjikan bukan sahaja aksi mendebarkan di gelanggang tinju, malah keterlibatan menyeluruh melalui pelbagai platform digital dan media sosial.
Asia Championship 2025 hadir dengan pendekatan lebih inklusif dan kontemporari.
Selain mengetengahkan barisan peninju muda tempatan, kejohanan ini bakal disertai oleh artis, personaliti media sosial dan influencer, sekaligus menjadikan acara ini tidak hanya sekadar pertandingan sukan tetapi ia menjadi medan pertemuan antara dunia fizikal dan maya.

Penganjurnya, Dato’ Abd Rahman Soltan berkata, penganjuran Asia Championship bukan hanya bertujuan mengangkat martabat sukan tinju tempatan, malah mengubah cara sukan itu dihayati dan disebarluaskan.
“Asia Championship bukan sekadar satu pertembungan peninju. Ia adalah pentas moden yang menyatukan semangat kesukanan dengan dunia digital.
“Kami mahu mencipta budaya baharu di mana sukan menjadi pengalaman bersama bukan hanya ditonton, tetapi dikongsi, diraikan dan disebarkan secara maya,” katanya pada majlis pengumuman acara berkenaan, baru-baru ini.
Bagi memastikan kejohanan berjalan dengan lancar dan mencapai piawaian tinggi, setiap peserta akan menjalani sesi latihan intensif yang merangkumi aspek mental dan fizikal.
Latihan ini dirangka bagi melahirkan atlet bukan sahaja yang bersedia untuk bertarung, tetapi juga membawa nilai-nilai positif sebagai duta sukan moden.
Sehingga kini, sebanyak 16 penyertaan telah disahkan, membabitkan anak muda tempatan dalam dua kategori utama.
Namun, penyertaan masih dibuka dan perbincangan sedang dijalankan bagi menambah kategori serta peluang kepada peserta lain yang berminat untuk menyertai kejohanan ini.
“Matlamat kami bukan semata-mata untuk mencari pemenang. Kami ingin membina semangat disiplin, dedikasi dan kesedaran tentang nilai kesukanan dalam kalangan generasi muda.
“Inilah masa mereka untuk membuktikan kemampuan di pentas profesional,” katanya.

Dengan gabungan dunia sukan dan digital, Asia Championship 2025 dijangka membawa nafas baharu kepada landskap sukan tempur tempatan.
Tumpuan diberikan bukan sahaja terhadap prestasi di gelanggang, tetapi juga terhadap penghasilan kandungan digital, pengaruh media sosial dan penglibatan komuniti yang lebih meluas.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut atau mendaftar sebagai peserta masih berpeluang berbuat demikian dengan menghubungi pihak urusetia melalui nombor +60 11-3336 1885 (Bakhtiar) atau +60 11-3794 3779 (Rey).
Asia Championship 2025 bukan hanya sebuah kejohanan ia adalah satu gerakan baharu yang menyatukan semangat kesukanan dengan era digital masa kini.