KUALA LUMPUR – Dunia pencipta kandungan digital sekali lagi akan memberi tumpuan ke Malaysia apabila All Star Influencer Award (ASIA) 2025 (ASIA2025) kembali untuk tahun ketiga penganjurannya.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan luar biasa iaitu seramai 80 influencer dari 20 negara Asia dan Timur Tengah, menjadikan ia antara acara digital paling berpengaruh di rantau ini.
Bukan sekadar sebuah majlis anugerah, ASIA2025 menawarkan pengalaman menyeluruh kepada peserta menerusi satu program jelajah khas ke lapan negeri di seluruh Malaysia.
Di setiap destinasi, influencer akan terbabit dalam pelbagai aktiviti eksplorasi dan penciptaan kandungan yang mempamerkan kekayaan budaya, keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian kulinari tempatan.
Penganjur program, Dato’ Abd. Rahman Soltan berkata, konsep ASIA2025 menekankan penggabungan antara kreativiti digital dan keunikan warisan tempatan.
“Setiap dua negeri akan menempatkan 20 pencipta kandungan untuk tempoh tertentu.
“Mereka akan menyertai aktiviti berkaitan makanan, seni budaya, alam semula jadi serta cabaran digital yang dirancang bagi menguji kreativiti dan ketangkasan mereka dalam menghasilkan kandungan bermutu tinggi,” katanya.
Perjalanan bermula di Johor dan Pahang pada 20 hingga 25 Julai, disusuli Melaka dan Selangor dari 17 hingga 20 Ogos.
Siri jelajah kemudian akan diteruskan ke Pulau Pinang dan Langkawi antara 14 hingga 20 September sebelum berakhir di Sabah dari 14 hingga 17 Oktober.
Program berskala antarabangsa ini turut memberi sokongan kepada Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan tujuan menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan digital.

Pihak penganjur yakin kolaborasi antara pelancongan dan kandungan digital mampu membawa impak besar kepada ekonomi kreatif dan persepsi global terhadap Malaysia.
Majlis kemuncak Gala Anugerah ASIA2025 akan berlangsung pada 19 Oktober 2025, di mana lokasi rasmi bakal diumumkan tidak lama lagi.
Pemenang utama bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak USD15,000 dan percutian eksklusif ke Dubai.
Tempat kedua akan menerima USD5,000, manakala tempat ketiga akan memperoleh USD1,000, dan kedua-duanya turut menikmati percutian ke destinasi mewah itu.
Selain itu, 10 peserta terbaik keseluruhan akan dipilih untuk menyertai satu lawatan khas ke Dubai yang ditaja sepenuhnya.
Sebanyak 13 kategori anugerah akan dipertandingkan, meliputi pelbagai bidang kandungan seperti makanan, penceritaan visual, tarian, komedi, bahasa, budaya dan penghasilan video kreatif.
Antara kategori yang dipertandingkan termasuk Best Gourmet Award, Best Storyteller, Best Transition, Best Culture Curator dan Best Influencer Award.
ASIA2025 turut menerima sokongan kukuh daripada pelbagai rakan strategik dan penaja, termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia, serta jenama terkenal seperti Tune Talk, Sally Beauty by Sally, Argania, Yute by thelikeyuti, AN by Harissa Adlynn dan Atlanta Resources.
“Kami mahu Malaysia muncul sebagai hab pencipta kandungan digital serantau.
“Ini bukan hanya tentang persaingan atau hiburan, tetapi tentang bagaimana kreativiti boleh menjadi jambatan budaya dan memperkukuh imej negara di mata dunia,” kata Abd. Rahman lagi.
Kejayaan edisi terdahulu membuktikan keberkesanan program ini dalam menarik perhatian global.
Tahun lalu, tanda pagar rasmi #AllStarInfluencerAward2024 mencatat lebih 500 juta capaian digital di TikTok, sekali gus menjadikan ia tular di pelbagai platform media sosial.
Saal Haerid dari Indonesia muncul sebagai pemenang utama dan turut memenangi kategori Ciptaan Kandungan Terbaik, membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak USD11,000 dan percutian ke Dubai.
Manakala, rakan senegaranya Abyan Calief menduduki tempat kedua dan Imranul Effendi dari Malaysia membawa pulang hadiah tempat ketiga.
Dengan gabungan unik antara pengaruh digital, destinasi pelancongan eksotik dan hadiah lumayan, All Star Influencer Award (Asia) 2025 dijangka mencipta fenomena baharu dalam landskap kandungan digital serantau, sambil terus mengangkat Malaysia sebagai platform kreatif bertaraf antarabangsa.