KUALA LUMPUR, 23 Julai 2025 – Dalam satu majlis yang penuh emosional dan keinsafan, Kelab Sahabat N87 Najib Razak menganjurkan acara bacaan Yasin, solat hajat serta doa khas sempena ulang tahun kelahiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Majlis yang diadakan malam tadi turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan lama beliau, dan dipimpin oleh Ketua Penerangan Veteran UMNO Malaysia, Dato’ Zainal Abidin Sakom.
Menurut Dato’ Zainal, acara tersebut bukan sekadar sambutan ulang tahun, tetapi turut menjadi wadah untuk memohon kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan institusi berkaitan dalam memberikan keampunan mutlak kepada Datuk Seri Najib.
“Kita doakan agar Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilembutkan hati untuk memberi keampunan penuh kepada Datuk Seri Najib. Ini bukan soal politik semata-mata, tapi soal kerinduan rakyat kepada kepimpinan beliau yang terbukti berjasa,” ujar beliau.
Dato’ Zainal juga menyentuh mengenai kerinduan terhadap era kepimpinan Najib yang menurutnya jauh lebih stabil dan makmur berbanding situasi semasa.
“Kita bandingkan sendiri. Di zaman mana kita lebih aman, lebih makmur? Kami rindu kepimpinan beliau, dan kami berdoa agar beliau dapat kembali menyumbang bakti memimpin tanah air tercinta ini,” katanya lagi.
Majlis tersebut juga dilihat sebagai isyarat sokongan berterusan dari akar umbi serta veteran UMNO terhadap bekas Perdana Menteri yang kini menjalani hukuman penjara berhubung kes rasuah.
#DoaUntukNajib .#SelamatHariJadiNajib #KelabSahabatN87 #VeteranUMNO #PengampunanDiraja #NajibRazak #KamiRinduNajib #KembaliPimpinNegara #SolatHajatUntukNajib #ZamanNajibLebihBaik