KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari membidas pemimpin PAS yang disifatkan menggunakan analogi menghina terhadap wanita.
Beliau berkata kebisuan bukan lagi pilihan setelah kepimpinan tertinggi parti itu, termasuk Tuan Ibrahim Tuan Man, tampil mempertahankan perumpamaan tersebut.
Dalam kenyataan yang tular, Rosni menegaskan analogi yang menyamakan wanita dengan ‘lembu betina’ yang memimpin di padang ragut adalah bukti nyata pemikiran misoginis, dangkal, dan regresif yang telah berakar dalam kepimpinan tertinggi PAS.
“Apabila seorang pemimpin PAS menyamakan wanita dengan lembu, dan kini, Tuan Ibrahim sendiri mempertahankannya, maka ini bukan lagi isu individu. Ini adalah bukti nyata bahawa pemikiran misoginis… memang sudah berakar dalam dalam kepimpinan tertinggi PAS,” katanya.
Beliau menambah, kenyataan itu bukan sahaja menghina wanita, malah merosakkan imej Islam itu sendiri.
Menurutnya, menyamakan wanita dengan haiwan ternakan adalah tidak masuk akal dan jahil dari sudut agama, terutama apabila Islam memuliakan wanita dan memberi mereka peranan besar dalam sejarah.
Beliau turut mempersoalkan pihak PAS, “Jadi, siapa kamu wahai PAS, untuk menyamakan wanita dengan lembu?”
Dalam kenyataan itu, Rosni mendakwa PAS telah takut dengan wanita yang berpendidikan, berkuasa, dan berprinsip.
Beliau turut menuduh parti itu mahu masyarakat terus diperbodohkan dengan tafsiran sempit agama.
Rosni juga menyeru agar rakyat tidak terkeliru antara Islam yang memuliakan wanita dengan tindakan PAS yang didakwa memperlekehkan mereka.
“Islam memuliakan wanita. PAS memperlekehkan mereka. Jangan kelirukan rakyat antara keduanya,” katanya.