KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2025 – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan tampil memberi respon terhadap penyertaan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sambil menegaskan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk memilih haluan politik masing-masing.
Namun begitu, Dr. Azam menyuarakan kekecewaannya sekiranya Khir Toyo mengeluarkan kenyataan yang menjatuhkan imej UMNO setelah sekian lama mendapat pelbagai manfaat daripada parti tersebut.
“Saya dan Dr. Khir merupakan sahabat sejak zaman universiti. Kami sangat rapat dan saya hormati keputusan beliau untuk menyertai BERSATU. Namun, jika sudah keluar UMNO, tidak perlulah mencemuh parti yang telah banyak memberi kepada beliau. Itu yang saya pelik,” katanya.
Menurut Dr. Azam, Khir Toyo sudah mencapai pelbagai pencapaian dalam UMNO, termasuk menjadi Ahli Majlis Tertinggi nombor satu, dan memegang jawatan Menteri Besar. Justeru, beliau merasakan zaman Khir Toyo dalam UMNO sudah berlalu.
“Bagi saya, beliau telah dapat segala-galanya. Tetapi jika mahu memberi komen yang mengaibkan UMNO, saya kira itu tidak wajar,” tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai tuduhan Khir Toyo yang mendakwa Barisan Nasional kini hanya menjadi “supplement” kepada Pakatan Harapan, Dr. Azam menjawab sinis bahawa itu mungkin logik seorang doktor gigi.
“Kalau ikut logik, UMNO dengan 26 kerusi takkan dapat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Tapi dalam politik, bukan semua perkara mengikut logika. Yang penting kejujuran dan keikhlasan,” katanya.
Beliau juga mendedahkan bahawa dirinya pernah dijemput sebanyak dua kali oleh Presiden BERSATU untuk menyertai parti itu, namun menolaknya demi kekal setia bersama UMNO.
“Saya tidak pelik dengan perubahan dalam dunia politik. Hari ini seseorang boleh masuk, esok orang lain keluar. Tetapi saya tetap bersama UMNO kerana perjuangan ini lebih besar dari jawatan,” katanya sebelum mengakhiri kenyataan dengan menyeru semua pihak untuk kembali menumpukan kepada agenda rakyat dan orang Melayu.
#UMNO #KhirToyo #AzamRauzan #BERSATU #PolitikMalaysia #PartiLompat #SetiaPadaUMNO #PRU16 #CashIsKing #SuaraAkarUmbi