Dakwa Hidup Dalam Ketakutan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2025 – Seorang lelaki yang juga influencer media sosial, Ahmad Faizal bin Sulaiman, 38, atau lebih dikenali sebagai “sky” tampil membuat pendedahan mengejut berhubung dakwaan pencerobohan kediaman, ugutan, dan penyebaran fitnah terhadap dirinya walaupun kes mahkamah yang melibatkannya telah pun selesai.

Ahmad Faizal, yang hadir bersama Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN), En. Joseph Prakash, menyerahkan memorandum rasmi kepada pihak polis di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Menara KPJ Kuala Lumpur sebagai langkah memohon perlindungan keselamatan untuk dirinya dan keluarga.

Beliau menjelaskan, pada 23 Jun 2025, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman denda RM100 selepas beliau mengaku bersalah memaparkan gambar seorang wanita, Rossafizah, tanpa tudung dalam siaran langsung TikTok miliknya. Keputusan itu, menurutnya, sepatutnya menamatkan kes berkenaan secara sah di sisi undang-undang.

Namun, dua hari selepas itu, pada 25 Jun 2025, rumahnya didakwa diceroboh oleh Rossafizah bersama beberapa individu lain termasuk personaliti media sosial dan aktivis NGO, Yusuf Azmi dari Pertubuhan Semboyan Malaysia. Kumpulan tersebut hadir tanpa waran atau pemberitahuan dan didakwa memintanya membuat permohonan maaf secara terbuka di TikTok – permintaan yang ditolaknya kerana tiada arahan mahkamah mengenainya.

Pertemuan itu didakwa bertukar tegang apabila berlaku pertikaman lidah dan ugutan. Malah, sebahagian insiden tersebut dirakam oleh pihak lawan dan dimuat naik ke media sosial, sekaligus mendedahkan identiti Ahmad Faizal walaupun wajahnya dipalang.

Merasa terancam, Ahmad Faizal berkata beliau terpaksa melarikan diri bersama isteri dan anak berusia empat tahun ke lokasi rahsia selama hampir tiga minggu. Sepanjang tempoh itu, beliau terpaksa menjual peralatan elektronik dan perabot demi kelangsungan hidup.

Namun, ketika masih bersembunyi, beliau mendakwa Rossafizah dan rakan-rakannya membuat siaran langsung di TikTok yang mengandungi pelbagai tuduhan fitnah, antaranya mendakwa beliau meminjam wang RM16,000 daripada warga Singapura, ditangkap polis, dan dijamin pihak ketiga.

“Saya mempunyai dokumen bukti daripada pihak mahkamah dan PDRM yang mengesahkan kes telah selesai. Apa yang berlaku selepas itu adalah pencerobohan, ugutan, dan fitnah yang membahayakan keselamatan saya dan keluarga,” katanya.

Ahmad Faizal kini merayu agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang terlibat serta memberikan jaminan keselamatan kepada dirinya dan keluarga.

#KesTikTok #Pencerobohan #FitnahOnline #InfluencerMalaysia #KesViral #YusufAzmi #SemboyanMalaysia #KeadilanUntukSemua #IsuViral2025 #LindungiKeluarga

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f