Oplus_16908288

KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2025 – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu merangkap EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Fikhran Hamshi Tan Sri Mohamad Fatmi, mengecam keras kenyataan yang dibuat oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam, baru-baru ini.

Dalam satu siaran langsung pada 20 Ogos lalu, Lokman didakwa telah menuduh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Dr. Akmal Saleh, sebagai “Ketua Pemuda H2O (Hishammuddin)”.

Fikhran menegaskan, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah melanggar tanggungjawab seorang ahli MKT yang sepatutnya menjaga maruah parti.

“Tindakan Datuk Lokman Adam adalah serangan keji – bukan sahaja menjatuhkan maruah seorang pemimpin muda, malah melemahkan parti dari dalam. Malangnya ini bukan kali pertama beliau bertindak demikian. Kes ini wajib dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau mengingatkan bahawa Pemuda UMNO adalah tunggak penting parti dan institusinya wajar dipertahankan sebagaimana institusi Presiden.

Isu DAPSY Kedah & Pulau Pinang

Fikhran turut menyelar kenyataan DAPSY Kedah dan Pulau Pinang yang mahu “memutuskan hubungan” dengan Dr. Akmal.

“Jika benar mahu putuskan hubungan, jangan hanya menyerang individu. Bawa usul itu ke meja rundingan Kerajaan Perpaduan. Kalau ada keberanian, putuskan terus hubungan dalam kerajaan sekarang. Jangan bermain politik separuh jalan,” tegasnya.


Isu Jalur Gemilang Terbalik di Johor

Mengulas insiden Jalur Gemilang yang dikibarkan terbalik di Pontian, Fikhran menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan YB Datuk Seri Ahmad Maslan yang menggantung operasi sebuah klinik selama 30 hari.

Namun beliau kecewa dengan gesaan sesetengah pihak, khususnya daripada DAP Johor, yang mahu hukuman itu ditarik balik.

“Ini bukan isu remeh! Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan negara. Pemuda UMNO menyokong hukuman lebih berat demi memastikan perkara ini tidak berulang. Hormati negara, hormati bendera, hormati Rukun Negara,” ujarnya.


Seruan Perpaduan Dalam Parti

Mengakhiri kenyataannya, Fikhran menyeru agar seluruh kepimpinan UMNO, khususnya ahli MKT, menghentikan perbuatan yang boleh menjadi “duri dalam daging” kepada parti.

“Fokus kita adalah menguatkan parti, membela rakyat, dan memastikan UMNO terus relevan. Pemuda UMNO tidak gentar bersuara, kami akan terus mempertahankan maruah institusi Pemuda UMNO, mempertahankan pemimpin kami, dan paling penting, mempertahankan parti keramat UMNO!” katanya.

#PemudaUMNO #UMNOMalaysia #UMNOKotaBharu #DrAkmalSaleh #LokmanAdam #PolitikMalaysia #UMNORelevan #BelaRakyat #PertahanMaruah #KerajaanPerpaduan

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f