KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Concerned Lawyers for Justice (CLJ) berpendapat bahawa prosiding inkues tidak perlu dijalankan dalam kes kematian tragis arwah Zara Qairina, sebaliknya pihak polis wajib menyempurnakan siasatan jenayah secara menyeluruh.

Menurut peguam CLJ, Nadia Abd. Aziz, prinsip perundangan menunjukkan inkues hanya wajar dijalankan apabila punca kematian tidak jelas atau wujud percanggahan bukti forensik, seperti dalam kes Teoh Beng Hock, A. Kugan dan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Namun, bagi kes yang nyata berunsur jenayah, seperti kes kematian Nhaveen dan Mohamad Nazmie, mahkamah terus menjalankan prosiding jenayah tanpa melalui inkues. Begitu juga dalam kes Zara Qairina yang jelas melibatkan dakwaan penderaan, pengabaian dan buli,” katanya.

CLJ menegaskan, adalah tanggungjawab polis untuk menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302/304 Kanun Keseksaan (bunuh atau bunuh tanpa niat), Seksyen 326 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera parah) dan Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

Tambah Nadia, kegagalan polis melengkapkan siasatan merupakan pelanggaran kewajipan undang-undang di bawah Seksyen 20(3) Akta Polis 1967 dan Seksyen 120(2) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

“Inkues hanya akan mengulangi proses siasatan yang sepatutnya dijalankan oleh polis. Malah, ia berisiko menyebabkan percanggahan dapatan dengan siasatan polis serta mengundang kekeliruan awam, sebagaimana berlaku dalam kes Teoh Beng Hock,” jelasnya.

CLJ menegaskan bahawa keadilan untuk arwah Zara Qairina bukan sahaja penting untuk keluarga mangsa, tetapi juga menjadi simbol keadilan bagi semua kanak-kanak di Malaysia.

“Keadilan untuk Zara Qairina adalah keadilan untuk semua kanak-kanak Malaysia,” tegas Nadia.

#ZaraQairina #KeadilanUntukZara #JusticeForChildren #HentikanBuli #LawForJustice #SaveOurChildren #KeadilanUntukSemua #StopAbuse #PolisMalaysia #ChildRights

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f