PUTRAJAYA, 24 OGOS 2025 – Kejohanan Golf Amal PEKEMA 2025 – President’s Cup Edisi ke-11 menutup tirainya dengan penuh bergaya menerusi Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian Hadiah di Putrajaya Marriott Hotel malam ini.
Acara yang berlangsung selama dua hari di Palm Garden Golf Club ini berjaya menghimpunkan hampir 500 pemain golf amatur dari seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak, serta penyertaan antarabangsa dari Jepun, Singapura dan Vietnam.


Presiden PEKEMA, Datuk Hj Mohamed Nazari Bin Noordin, menegaskan bahawa kejohanan ini bukan sekadar platform sukan, malah lambang kebersamaan ahli perniagaan, pemimpin industri dan agensi kerajaan demi menyokong kebajikan melalui Yayasan PEKEMA.
“Kejohanan ini adalah platform strategik yang menyatukan ramai pihak. Pada masa sama, ia membuktikan komitmen PEKEMA terhadap kebajikan masyarakat,” katanya.

Kejohanan berprestij ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM500,000, termasuk sebuah kereta elektrik Dongfeng BOX untuk cabaran hole-in-one, selain hadiah Grand Lucky Draw bernilai RM20,000, RM5,000 dan RM3,000.
Malam Gala & Hiburan
Majlis kemuncak diserikan dengan persembahan penyanyi legenda Dato’ Jamal Abdillah, diikuti cabutan bertuah yang mencetuskan suasana meriah. Lebih 500 tetamu hadir meraikan malam penuh gemilang ini.
Timbalan Presiden PEKEMA, Dato’ Hj Wan Sazrudeen Bin Dato Hj Wan Zaid, pula menegaskan bahawa penganjuran ini membuktikan bahawa keusahawanan, teknologi, sukan dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu landasan.
Sumbangan Yayasan PEKEMA
Malam gala turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada 10 artis di bawah naungan Karyawan termasuk Jalil Hamid, Wan Maimunah, Sathiya, dan Amir Raja Lawak, selain beberapa badan kebajikan terpilih.

Nazari menjelaskan, selepas membantu artis veteran, Yayasan PEKEMA juga merancang untuk menyalurkan bantuan kepada atlet veteran negara yang telah berjasa mengharumkan nama Malaysia.
Terima Kasih Penaja
Acara ini mendapat sokongan penaja utama antaranya TOA Trading Co. Ltd, Cuscapi Solutions, Toyota Laser Motor Group, Heiwa Auto, Maybank, Allianz, BSN, Northport, Farm Fresh dan banyak lagi.
Dengan penganjuran bertaraf serantau, PEKEMA Charity Golf sekali lagi membuktikan golf bukan sekadar sukan elit, tetapi medium untuk silaturahim, kebajikan, dan pembangunan komuniti.
#PEKEMACharityGolf2025 #PresidentsCup11 #GolfUntukKebajikan #YayasanPEKEMA #GolfMalaysia #MalamGalaPEKEMA #SukanDanKebajikan #GolfAmal2025 #JamalAbdillahLive #KebajikanKomuniti