PETALING JAYA – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor, berkenan menobatkan tiga usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai Ikon Usahawan OKU Selangor dalam satu majlis berprestij sempena Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) Edisi Keenam yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Program SAY LEAD adalah inisiatif tahunan anjuran Selangor Youth Community (SAY), sebuah organisasi bukan kerajaan yang diasaskan oleh DYTM Raja Muda Selangor sendiri, dengan matlamat memperkasa komuniti usahawan OKU di negeri ini.
Bagi edisi keenam tahun ini, program telah menarik 30 penyertaan awal sebelum 10 peserta terbaik dipilih untuk membentangkan cadangan perniagaan mereka di hadapan panel juri, termasuk DYTM Raja Muda Selangor selaku ketua juri.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi, yang menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong pembangunan dan pemberdayaan usahawan OKU.
Menurut beliau, program ini bukan sekadar pengiktirafan, malah menjadi bukti bahawa tiada golongan yang dipinggirkan dalam agenda pembangunan negeri, termasuk mereka yang kurang upaya.
“Melalui program ini, kita melihat pelbagai potensi luar biasa dalam kalangan usahawan OKU.
“Kebanyakan mereka menjalankan perniagaan dalam bidang makanan, minuman, kraftangan dan perkhidmatan seperti dobi.
“Malah, salah seorang peserta kita hari ini, Norhaiza, menghasilkan beg tangan daripada kain batik yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Ia produk kreatif yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Antara peserta lain yang mencuri tumpuan termasuk Aiman, seorang usahawan muda berusia 20-an yang menghidap autisme, tetapi berjaya mengembangkan produk kraftangan unik menggunakan tumbuhan semula jadi.
Keunikan hasil kerjanya bukan sahaja menonjolkan kreativiti luar biasa, malah menjadi inspirasi kepada ramai.
Edisi kali ini juga menyaksikan dominasi peserta wanita, dengan tujuh daripada sepuluh finalis terdiri daripada golongan wanita OKU.
Hal ini sekali gus membuktikan bahawa wanita, termasuk yang berkeperluan khas, memainkan peranan penting dalam ekosistem keusahawanan negeri.
Program SAY LEAD edisi kali ini telah bermula sejak Mei 2025, dan membabitkan sesi latihan menyeluruh yang merangkumi profil keusahawanan, penjenamaan dan pemasaran digital, pengurusan kewangan serta bengkel pembentangan perniagaan.
Peserta juga diberi peluang mengikuti sesi perkongsian bersama agensi kerajaan dan pihak industri.
SAY LEAD edisi keenam ini turut mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor dalam mengenal pasti peserta OKU yang layak.
Tambahan pula, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyumbang dana sebanyak RM20,000 untuk memastikan kelancaran penganjuran dan bimbingan seterusnya kepada peserta. Google turut tampil sebagai penaja utama bagi memperkukuh pelaksanaan program.
Tiga peserta yang berjaya muncul sebagai pemenang telah menerima pelbagai faedah termasuk piala dan sijil pengiktirafan daripada SAY, geran perniagaan tajaan PUNB (RM5,000 bagi juara, RM4,000 bagi naib juara dan RM3,000 bagi tempat ketiga), serta penyertaan dalam program lanjutan SAY LEAD+ selama tiga bulan.

Program lanjutan ini akan memberi akses kepada pasaran baharu, digitalisasi perniagaan, peluang eksport serta reruai promosi secara percuma.
Peserta juga bakal menerima sistem POS tajaan Yayasan MBI Selangor dan laman sesawang percuma oleh App Engage.
Tiga usahawan yang berjaya bagi edisi ini kali ini ialah:
Juara : Nur Sabrina binti Md Salleh (30 tahun)
Naib Juara : Norhaiza binti Selamat (45 tahun)
Tempat ketiga : Nor Azura binti Othman (44 tahun)
Sementara itu, dua peserta tambahan turut menerima pengiktirafan khas sebagai Usahawan Harapan atas potensi dan bakat luar biasa yang mereka miliki.
Melalui SAY LEAD, Selangor terus membuktikan komitmennya dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan ekonomi.
Kerajaan negeri, melalui kerjasama strategik dengan agensi dan sektor swasta, akan terus memperluaskan program latihan, pemberdayaan dan akses pasaran untuk komuniti usahawan OKU, bukan hanya di peringkat tempatan tetapi juga global.