KUALA LUMPUR – Ketegangan yang tercetus antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam wajar dihentikan segera demi menjaga maruah parti.
Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan menegaskan, perbalahan terbuka antara dua tokoh itu bukan sahaja menjejaskan imej parti, malah memberi persepsi negatif terhadap Barisan Nasional (BN) sebagai blok politik utama negara.
“Apabila gajah sama gajah bertarung, rumput yang menjadi mangsa. UMNO seharusnya tidak membiarkan isu kecil menjadi besar sehingga menjejaskan imej kepimpinan. Hari ini saya pilih untuk tersenyum sahaja, kerana saya percaya masalah boleh diselesaikan dengan bijaksana, bukan dengan jerit pekik atau cabar-mencabar,” katanya.
Menurut beliau, isu ini bermula daripada insiden pemasangan bendera terbalik di Pulau Pinang, yang dianggap sebagai provokasi daripada pihak luar. Namun, tindakan susulan yang diambil oleh pemimpin muda UMNO dengan mengeluarkan ultimatum serta kenyataan keras dilihat sebagai “kesilapan besar” kerana mengundang tindakan undang-undang.
“Pemimpin yang matang tidak sepatutnya bertindak mengikut emosi. Kita tidak boleh menutup satu kesilapan dengan kesilapan lain. Lebih penting, kita mesti elak ‘mencuci kain kotor di khalayak ramai’. UMNO sebagai parti keramat kemerdekaan sepatutnya menunjukkan teladan baik,” jelasnya lagi.
Dr Azam juga menegaskan bahawa peranan pemimpin UMNO perlu lebih berhati-hati, terutama apabila memegang jawatan komunikasi. Beliau mengingatkan bahawa setiap kenyataan yang dikeluarkan bukan hanya mewakili diri individu, tetapi melibatkan reputasi parti secara keseluruhan.
“Sebagai Pengarah Komunikasi UMNO, kata-kata bukan sekadar milik peribadi. Ia membawa imej parti. Sekiranya kita tersilap, rakyat akan menilai UMNO sebagai sebuah organisasi yang gagal mengawal naratifnya sendiri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Dr Azam menyeru agar kedua-dua pihak – Dr Akmal dan Lokman Adam – mencari titik perdamaian, selain mengingatkan kepimpinan tertinggi UMNO supaya tidak terus berdiam diri.
“Kalau ini dibiarkan, imej UMNO akan terus tercalar. Apa yang penting ialah kita bersatu, bukan berpecah. Kita harus sedar UMNO kini hanya ada 26 kerusi, dan kalau silap langkah mungkin tinggal 13 pada PRU akan datang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan hari ini adalah satu rahmat, dan ia harus dihargai dengan memperkukuhkan parti, bukan merosakkannya dari dalam.
#UMNOBerdamai #PolitikMatang #UMNO2025 #DrAkmal #LokmanAdam #UMNOBersatu #PolitikHarmoni #KestabilanPolitik #BNBangkit #ElakPerpecahan