KUALA LUMPUR, 3 September 2025 – Tindakan tegas diambil terhadap penjualan barangan tiruan apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama SKF Group Brand Protection berjaya merampas lebih 2,000 unit galas bebola tiruan bernilai kira-kira RM45,000 di sekitar Lembah Klang.
Serbuan itu dijalankan hasil aduan rasmi wakil cap dagangan SKF, melibatkan tiga premis berasingan termasuk sebuah kedai aksesori dan alat ganti motosikal di ibu negara.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad, berkata serbuan mendapati premis terbabit memiliki stok galas bebola tiruan dengan cap dagangan yang dipakaikan secara salah, dipercayai untuk tujuan perdagangan.
“Pemilik premis disiasat di bawah Seksyen 102(1)(C) Akta Cap Dagangan 2019, dan lebih 1,112 unit barangan tiruan dirampas dianggarkan bernilai RM7,784 bagi Kuala Lumpur sahaja,” katanya.
Sementara itu, Saim Manto, Pengarah Perlindungan Jenama SKF Group, menegaskan bahawa barangan tiruan bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga membawa risiko keselamatan kepada pengguna.

“Produk tiruan boleh menyebabkan kerosakan mesin, jangka hayat pendek serta membahayakan pekerja dan orang awam. Kami komited bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi membanteras perdagangan haram ini,” katanya.
SKF turut menasihatkan pengguna supaya hanya mendapatkan produk melalui pengedar sah yang disenaraikan di laman web rasmi www.skf.com, atau mengesahkan ketulenan produk melalui aplikasi SKF Authenticate yang boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play.

Dengan kerjasama berterusan antara pihak berkuasa dan SKF, usaha membendung penyebaran produk tiruan diyakini dapat melindungi industri, peniaga sah, serta keselamatan pengguna di Malaysia.
#SKF #AntiCounterfeit #LindungiPengguna #BarangTiruan #KeselamatanIndustri #OpsKPDN #JenamaAsli #MalaysiaNews #ProtectConsumers #SKFOriginal