KUALA LUMPUR, 5 September 2025 — Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bakal berlangsung pada 6 dan 7 September ini di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, dilihat menjadi medan penting buat parti itu dalam menentukan hala tuju politiknya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar, meskipun PAT kali ini tidak melibatkan pemilihan parti, namun tumpuan besar adalah untuk menegaskan kedudukan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai peneraju utama parti.

“Ia bukan sekadar soal perhimpunan tahunan biasa, tetapi bakal menjadi pentas untuk Bersatu memutuskan persoalan paling kritikal – siapakah calon perdana menteri yang akan ditampilkan parti ini dalam gabungan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Hisomudin menambah, isu calon perdana menteri tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan memberi kesan langsung terhadap keyakinan akar umbi dan imej kepimpinan dalam PN.

“Lebih penting, keputusan ini akan dibawa ke meja rundingan bersama rakan komponen PN, termasuk PAS, yang sebelum ini ada memberi isyarat seakan wujud keperluan menilai semula kepimpinan dan strategi gabungan,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, hanya selepas persoalan calon perdana menteri dijernihkan, barulah usaha memperkukuh kerjasama antara parti dalam PN dapat dilakukan dengan lebih strategik.

“Dalam konteks ini, usul calon perdana menteri dan usul memperkukuh kerjasama PN sebenarnya saling berkait. Ia adalah prasyarat penting untuk memastikan PN tampil dengan kepimpinan yang jelas, bersatu dan diyakini menjelang PRU16,” ujarnya.

PAT Bersatu ke-8 ini dijangka menjadi tumpuan pemerhati politik tanah air kerana ia bakal menentukan hala tuju parti serta gabungan PN dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

#PATBersatu2025 #BersatuUntukPRU16 #PNBangkit #KepimpinanMuhyiddin #PolitikMalaysia #ShahAlamIDCC #SuaraAkarUmbi #PRU16 #PerikatanNasional #AgendaRakyat

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f