SELANGOR, 10 DISEMBER 2021 Bank Rakyat meneruskan inisiatif jangkauan komunitinya dengan memberi sumbangan bagi membaik pulih rumah Arbain Ahmad dan keluarga yang terbakar di Sungai Burong. Sekinchan baru-baru ini.
Sumbangan RM34,980 bagi kos membaik pulih rumah tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Haji Omar diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan.
*Sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban yang dirasai Arbain Ahmad dan keluarga dalam menampung kos membaik pulih rumah dan diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka meneruskan kehidupan harian. Kami bersimpati dan prihatin dengan nasib mereka yang ditimpa musibah dan berharap mereka terus tabah,” ujar Dato’ Syed Abdul Aziz
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku akibat litar pintas pada 11 September 2021 menyebabkan rumah kediaman keluarga Arbain yang dibina sejak 20 tahun lalu termasuk motosikal miliknya musnah dijilat api, menyebabkan keluarga terbabit mengalami kerugian kira-kira RM50,000.
Sementara itu, isteri Arbain, Safiah Abd Wahab melecur di lengan dipercayai cuba memadam kebakaran rumah dan telah dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
*Sumbangan yang dihulurkan ini adalah berlandaskan kewajipan tuntutan kita sesama Muslim serta komitmen Bank Rakyat untuk terus membantu golongan yang memerlukan termasuk komuniti yang terjejas akibat musibah kebakaran seiring dengan semangat serta konsep Keluarga Malaysia,” tambah Dato’ Syed Abdul Aziz lagi.