PETALING JAYA, 14 DISEMBER 2021-Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) pada hari ini menganjurkan Mini Konvensyen Ekosistem Koperasi Kredit 2021 sepanjang tiga (3) hari bermula 14 hingga 16 Disember 2021 bertujuan untuk memperkasa tadbir urus pembiayaan koperasi melalui Ekosistem Kredit Koperasi yang dibangunkan oleh Sektor Pembangunan Perkhidmatan Kewangan ANGKASA selain memperkukuh jaringan koperasi kredit di peringkat nasional supaya koperasi kredit lebih berdaya maju dan berdaya saing.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Yang Berhormat Tan Sri Noh bin Haji Omar di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya, Selangor hari ini. Konvensyen Ekosistem Kredit Koperasi 2021 menyaksikan penyertaan 182 pemimpin koperasi daripada 89 koperasi KRedit dari seluruh negara.
Presiden ANGKASA, Dato’ Dr. Abdul Fattah Abdullah, menyatakan bahawa ekosistem yang dibangunkan ini adalah gabungan perkhidmatan yang telah dibangunkan oleh ANGKASA iaitu Program Rangsangan Modal, Portal MyAngkasa AzZahra, Perkhidmatan Sistem Pelaporan Kredit (SPeKAR), Sistem Potongan Gaji Angkasa (SPGA), Tawarruq Angkasa, Non – Bank Lender Credit Information (NLCI) dan juga Perkhidmatan Kutipan dan Pemulihan Kredit Angkasa (ACCRS) yang mampu menyelesaikan beberapa halangan dan permasalahan yang dihadapi oleh koperasi kredit khususnya koperasi kredit berskala kecil dan sederhana.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Tan Sri Noh Bin Haji Omar di dalam ucapan perasmiannya berkata, “Ekosistem kredit koperasi yang dibangunkan khas oleh ANGKASA ini mampu membawa perkhidmatan kredit koperasi di Malaysia kepada satu standard dan kualiti yang setara dengan institusi pembiayaan yang lain. Beliau juga percaya, Mini Konvensyen Ekosistem Kredit ini bakal menjadi satu titik mula kepada pengukuhan sektor kewangan koperasi di Malaysia untuk meningkatkan mutu perkhidmatan yang lebih jitu dan mampan..
Perkara ini dalam dilihat menerusi salah satu perkhidmatan di bawah ekosistem kredit ANGKASA iaitu Portal MyAngkasa AzZahra. MyANGKASA AzZahra merupakan sebuah portal sehenti atas talian yang dibangunkan bagi membantu koperasi kredit untuk mempromosikan dan menawarkan pakej pembiayaan koperasi. Malah ianya juga memudahkan anggota koperasi mendapatkan pakej pembiayaan koperasi dengan kadar keuntungan yang lebih kompetitif. Ini secara tidak langsung dapat menyelesaikan isu jerat “Ah Long” tidak berlesen yang makin berleluasa, lebih-lebih lagi ketika rakyat dihimpit dengan masalah kewangan yang meruncing akibat penularan pandemik COVID-19.
Portal ini juga menyediakan satu proses pembiayaan yang lebih telus kerana setiap caj tambahan (fee base) yang dikenakan akan dapat dikawal selia dengan lebih baik.
ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang memperjuang dan melindung koperasi serta anggotanya akan terus meneroka inisiatif baharu bagi memastikan koperasi di negara ini tidak ketinggalan dalam fasa pemulihan ekonomi dan gelombang digitalisasi dan inovasi yang semakin pesat berikutan pandemik COVID-19. Dalam konteks ini, koperasi kredit akan lebih fokus dalam penawaran pembiayaan yang terbaik kepada anggotanya dan aktiviti selebihnya akan dilaksanakan oleh ANGKASA melalui rantaian ekosistem ini.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sehingga bulan Jun 2021, terdapat 572 buah koperasi kredit di seluruh negara dengan keanggotaan individu kira-kira 1.26 juta orang, jumlah modal syer/ yuran sebanyak RM7.14 bilion dan jumlah aset RM14.94 bilion. Perolehan koper kredit mencatat sebanyak RM6.45 bilion sehingga 31 Disember 2020.