KUALA LUMPUR, 18 Sept – UMNO bukanlah sebuah parti yang boleh dibuli atau dipinggirkan, demikian tegas Ketua UMNO Cawangan Wangsa Sari, Mazlan Abd Latif dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, keputusan UMNO Bahagian Batu memutuskan hubungan dalam beberapa urusan pentadbiran kerajaan khususnya di Wilayah Persekutuan adalah langkah tepat yang selari dengan prinsip maruah perjuangan parti.
Mazlan berkata, meskipun beberapa Ketua Bahagian UMNO dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun pandangan mereka tidak pernah diambil kira. Malah, pelantikan tersebut dianggap hanya sebagai ‘hiasan’ yang tidak memberi kesan kepada rakyat.
Lebih mengecewakan, jelasnya, pembahagian jawatan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di kawasan Wilayah Persekutuan telah “dibolot sepenuhnya” tanpa memberi ruang sewajarnya kepada UMNO. Katanya, walaupun jawatan diagihkan, usaha membantu rakyat tidak dijalankan dengan berkesan, malah aduan orang ramai sering dipandang remeh.
“Di Wangsa Maju sendiri, perebutan jawatan MPP dalam kalangan dalaman PKR masih berterusan. UMNO langsung tidak diberi peluang untuk memegang apa-apa jawatan, dan rakyat akhirnya menjadi mangsa akibat pentadbiran yang bercelaru,” tegas Mazlan.
Beliau turut menyentuh isu Kampung Baru dengan mendakwa tindakan pemimpin Amanah, Khalid Samad yang menyerang Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, seolah-olah menunjukkan sikap tidak menghormati rakan dalam kerajaan perpaduan.
“Tiada gunanya tidur sebantal tetapi bermimpi lain-lain. Jika suara UMNO terus dipinggirkan, maka medan pilihan raya akan menjadi jawapan sebenar,” katanya.
Mazlan turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar, yang tegas mempertahankan kedudukan dan maruah parti. Beliau berharap lebih ramai Ketua Bahagian akan mengikut langkah sama.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan gesaan supaya kerajaan berhenti “membuli UMNO” sekiranya mahu memastikan kestabilan politik dan kepentingan rakyat terus terbela.

#UMNOBangkit #StopBuliUMNO #PolitikMalaysia #WangsaMaju #UMNO2025 #MaruahUMNO #KerajaanPerpaduan #IsuKgBaru #SuaraRakyat #PolitikTerkini