Forum URA Terbuka, Keputusan Konklusif Akan Dibincang 3 Oktober

KUALA LUMPUR, 23 September 2025 — Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa forum berhubung Undang-Undang URA yang diadakan hari ini adalah satu platform perbincangan terbuka yang merangkumi pelbagai pandangan.

Beliau berkata, meskipun undang-undang tersebut tidak bersifat “draconian”, namun pelbagai faktor penting seperti budaya, ekonomi, politik dan sosial perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

“Forum ini adalah suatu forum yang sangat terbuka, membincangkan tentang URA. Walaupun ini bukan perbincangan konklusif, kita akan membincangkannya sekali lagi pada 3 Oktober apabila Konvensyen URA akan diadakan, dipengerusikan oleh Dato’ Sri Johari Ghani,” katanya ketika ditemui Media selepas selesai Forum BN ke 8 yang bertajuk Urbanisasi dan URA: Survival Melayu Bandar di Auditorium UMNO Menara Dato’ Onn, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur malam ini.

Turut bersama Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Pensyarah Malaysia University of Science and Technology (MUST) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, Profesor Adjung Taylor’s University yang juga Presiden Perekabandar Dr Shuhana Shamsuddin dan Setiausaha Agung BN yang bertindak sebagai moderator Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mengulas mengenai persepsi bahawa URA tidak dipersetujui oleh sebahagian ahli UMNO, Zahid menjelaskan peserta forum bukan hanya daripada kalangan ahli parti itu semata-mata, sebaliknya terdiri daripada pelbagai kumpulan masyarakat.

“Yang hadir tadi bukan semua ahli UMNO, tetapi daripada pelbagai latar belakang. Inilah kelebihan forum terbuka — memberi ruang kepada semua pihak melontarkan pandangan,” jelas beliau.

Konvensyen URA pada 3 Oktober dijangka menjadi medan penting untuk menentukan hala tuju dasar tersebut, sekali gus mengukur sejauh mana penerimaan masyarakat terhadap pelaksanaannya.

#URA2025 #ForumURA #ZahidHamidi #KonvensyenURA #SuaraRakyat #PolitikMalaysia #UndangUndang #IsuSemasa #BarisanNasional #3Oktober

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f