KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2025 – Bekas Perdana Menteri Malaysia, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, menegaskan bahawa Bahasa Melayu wajar diangkat sebagai bahasa kedua ASEAN kerana ia telah lama menjadi bahasa komunikasi utama di rantau ini dengan lebih 300 juta penutur.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) Kali Ke-4 yang berlangsung hari ini dengan tema “Bahasa Melayu Mengangkat ASEAN”.

Ismail Sabri menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu bukan perkara baharu. Malah, ketika beliau menerajui pentadbiran negara, persetujuan bersama telah dicapai dengan bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo, untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

“Jangan jadikan kelainan nama dan perbezaan sebagai persaingan. Apa yang penting ialah semangat penyatuan untuk mengangkat Bahasa Melayu dengan konsep yang luas bagi pakatan serantau ASEAN,” katanya.

Beliau turut mengusulkan tiga langkah strategik:

Penubuhan Kumpulan Bertindak ASEAN – melibatkan pakar bahasa, diplomat dan akademik untuk merangka hala tuju dasar bahasa ASEAN.

Kerjasama Malaysia-Indonesia-Brunei – sebagai teras penutur Melayu bagi menyelaras usaha promosi, penyeragaman istilah teknikal, serta pembangunan sumber digital.

Penganjuran Bulan Bahasa Melayu ASEAN – disambut setiap Ogos bersempena ulang tahun ASEAN bagi memupuk kesedaran dan kebanggaan serantau.


Menurutnya, langkah-langkah ini adalah strategik dan berperingkat tetapi mampu memperkukuh integrasi serta membina komuniti ASEAN yang lebih inklusif.

“Perjalanan ini bukan mudah, namun dengan kebijaksanaan diplomatik dan komitmen berterusan, Bahasa Melayu mampu menjadi salah satu tiang seri kejayaan ASEAN pada abad ke-21,” ujarnya lagi.

Simposium kali ini menghimpunkan ahli akademik, pakar bahasa serta delegasi dari dalam dan luar negara yang sama-sama bertekad memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa serantau yang berpengaruh.

#BahasaMelayuASEAN #MartabatBahasaMelayu #ASEANUnity #BanggaBahasaKita #BahasaMelayuGlobal #IsmailSabri #BahasaPenyatuASEAN #SAABM2025 #BahasaMelayuBangsaBerdaulat #ASEANBahasaKedua

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f