KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2025 – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) optimis peruntukan besar berjumlah RM230 juta yang diumumkan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2026 akan melahirkan seramai 32,857 usahawan mikro baharu di seluruh negara.

Pengarah Urusan AIM, Dato’ Mohamed Shamir Abdul Aziz, berkata dana ini bakal memberi nafas baharu kepada komuniti wanita B40 khususnya di bandar dan luar bandar, selain menjadi kesinambungan komitmen Kerajaan Madani dalam memperkasa ekonomi rakyat.

“Melalui peruntukan ini, AIM akan menyediakan kemudahan pembiayaan antara RM10,000 hingga RM30,000 dengan tempoh bayaran balik fleksibel sehingga 3 tahun. Daripada jumlah itu, 60% akan disalurkan kepada wanita luar bandar dan 40% lagi untuk wanita miskin bandar,” katanya.

Beliau menegaskan, fokus utama adalah memastikan pembiayaan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar agar mampu menjana pendapatan, meningkatkan taraf hidup keluarga B40 dan melahirkan lebih ramai usahawan formal.

Selain itu, AIM turut memberi penekanan kepada bimbingan usahawan wanita ke arah Persijilan Halal untuk mengangkat produk mereka ke peringkat antarabangsa.

Menurut Mohamed Shamir, dengan tambahan dana RM230 juta, jumlah keseluruhan pembiayaan AIM bagi 2026 meningkat kepada RM2.9 bilion berbanding RM2.7 bilion pada tahun sebelumnya.

Sejak penubuhannya pada 1987, AIM telah menyalurkan lebih RM37.68 bilion pembiayaan mikro, membantu lebih sejuta wanita Malaysia keluar daripada belenggu kemiskinan dengan kadar bayaran balik pinjaman cemerlang iaitu 99.97 peratus.

“AIM amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas sokongan berterusan kepada usaha membasmi kemiskinan. Bermula dengan RM10 juta bantuan segera, diikuti RM100 juta dalam Belanjawan 2024, dan kini RM230 juta bagi Belanjawan 2026 – keseluruhan sokongan mencecah RM340 juta dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

#Belanjawan2026 #AIM #UsahawanWanita #EkonomiB40 #KerajaanMadani #WanitaLuarBandar #UsahawanMikro #PersijilanHalal #TransformasiEkonomi #MalaysiaMaju

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f