PKNS Dituduh Dwi Standard: Surat Letterhead Persatuan Senyap 7 Bulan, Surat Letterhead Politik Terus Dibalas!

KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2025 – Penduduk Flat PKNS Jalan Kuching sekali lagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berhubung isu kenaikan mendadak caj bil penyelenggaraan serta kegagalan menyelesaikan masalah pemilikan strata yang telah berlarutan sejak lebih lima tahun lalu.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Awam PKNS Jalan Kuching, Datuk Gulam Muszafar Gulam Mustakim, pihaknya kecewa kerana aduan rasmi yang dihantar pada Februari 2025 tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga tujuh bulan. Namun, hanya selepas surat dihantar menggunakan letterhead politik kepada Menteri Besar Selangor, barulah PKNS memberi respons dalam tempoh seminggu.

“Kenapa bila surat rasmi persatuan dihantar, tiada jawapan langsung? Tapi bila guna letterhead politik, barulah nak respon. Ini jelas menunjukkan ada dwi standard dalam pentadbiran PKNS,” tegas beliau.

Isu utama yang dibangkitkan ialah cadangan kenaikan caj penyelenggaraan daripada RM15 kepada RM60 sebulan bermula Mac 2025, bersamaan kenaikan hampir 300%. Penduduk menyifatkan ia tidak munasabah, lebih-lebih lagi kebanyakan mereka tinggal di rumah kos rendah dengan keluasan satu hingga tiga bilik sahaja.

Lebih memburukkan keadaan, masalah lama mengenai pemilikan strata masih belum diselesaikan. Sejak 2008, dokumen strata telah dikeluarkan namun proses pemindahan hak milik terbengkalai akibat kecuaian panel peguam yang dilantik oleh PKNS, iaitu firma guaman Azam Izham & Azman and Partners, yang akhirnya ditutup akibat masalah kewangan.

Ramai penduduk sudah membuat bayaran sehingga RM2,000 – RM3,000 kepada firma berkenaan, tetapi kini terpaksa menanggung kerugian apabila dokumen dan proses terbengkalai. Lebih malang lagi, mereka diminta membuat bayaran baharu kepada Majlis Peguam serta peguam baru untuk meneruskan urusan tersebut.

“Kami bukan orang kaya. Duduk rumah kos rendah satu bilik sahaja, tapi terpaksa bayar dua kali, tiga kali untuk masalah yang berpunca daripada keculasan panel peguam yang dilantik oleh PKNS sendiri. Ini tidak adil,” tambah Datuk Gulam.

Sehubungan itu, penduduk menuntut agar PKNS dan Kerajaan Negeri Selangor menyelesaikan terlebih dahulu isu bayaran dan dokumen yang tergantung sebelum mengenakan caj penyelenggaraan baharu. Mereka turut meminta Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, campur tangan segera bagi menyelamatkan nasib ratusan keluarga di Flat PKNS Jalan Kuching.

“Kalau PKNS gagal menunjukkan kebertanggungjawaban, jangan salahkan penduduk kalau mereka hilang kepercayaan. Kami sedia berbincang, tapi bukan dengan cara menekan rakyat bawahan dengan caj yang melampau,” katanya lagi.

#PKNS #FlatJalanKuching #BantahKenaikan #IsuStrata #PendudukBangkit #SuaraRakyat #KeadilanUntukPenduduk #KosSaraHidup #UMNOBatu #Selangor

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f