
MRTA Jadi Perangkap Rakyat – Dato Dr Kalaivanar Dedah Syarikat Insurans Tiga Huruf Aniaya Pesakit Buah Pinggang
KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2025 – Seorang bekas pegawai polis, Encik Annathurai a/l Marimuthu mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan insurans Mortgage Reducing Term Assurance (MRTA) oleh syarikat insurans terkemuka tiga huruf yang terkenal di Malaysia. Beliau tampil bersama aktivis sosial Dato’ Dr. Kalaivanar, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), menyerahkan memorandum kepada wakil syarikat insurans tersebut, menuntut pampasan yang sepatutnya bernilai hampir RM900,000.

Menurut Annathurai, beliau telah disahkan mengalami masalah buah pinggang kronik sejak tahun 2008 dan terpaksa menjalani rawatan dialisis serta transplant. Berdasarkan laporan perubatan, beliau sepatutnya dikategorikan sebagai Total Permanent Disability (TPD). Namun, syarikat insurans berkenaan menolak tuntutannya dengan pelbagai alasan sehingga menyebabkan beliau terpaksa menanggung bayaran pinjaman rumah bersama faedah bank selama 15 tahun.
“Kalau kita lambat bayar premium, mereka terus batalkan polisi. Tapi bila kita tuntut hak, pelbagai alasan diberi. Saya sudah bayar lebih RM376 ribu, malah terpaksa berhutang dengan ahlong, saudara-mara dan melalui derita bertahun-tahun,” katanya penuh emosi.
Mangsa turut menjelaskan bahawa beliau telah menghantar surat aduan kepada pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Ketua Polis Negara dan Perdana Menteri, namun sehingga kini tiada tindakan tegas diambil.
Dalam sidang media itu, Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan isu ini bukan hanya membabitkan seorang individu, sebaliknya mencerminkan kelemahan kawalan terhadap syarikat insurans di Malaysia.
“Rakyat dipaksa membeli insurans MRTA apabila membuat pinjaman rumah. Tetapi bila berlaku musibah, syarikat insurans mencari alasan untuk tidak membayar pampasan. Ini satu penindasan yang tidak berperikemanusiaan. Kami beri tempoh 14 hari bekerja untuk mereka menyelesaikan pampasan ini, jika tidak kami akan bergerak ke Parlimen untuk demonstrasi besar-besaran,” tegas beliau.
Memorandum tersebut telah diserahkan untuk perhatian Gabenor Bank Negara, Dato’ Seri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, dan Pengerusi syarikat, Tan Sri Dato’ (Dr) Wee Hoe Soon.
Kes ini menimbulkan persoalan besar: siapakah yang menentukan status Total Permanent Disability – doktor pakar atau syarikat insurans? Persoalan ini sekali lagi membuka mata masyarakat mengenai hakikat bahawa rakyat marhaen sering menjadi mangsa permainan korporat yang hanya mementingkan keuntungan.
#KeadilanUntukAnnathurai #MRTA #TipuInsurans #HakRakyat #BNMHarusBertindak #KronikTanpaPerlindungan #InsuranceScam #LawanSampaiMenang #SolidaritiRakyat #StopInsuranceAbuse