KUALA LUMPUR – Rasionalisasi subsidi RON95 di bawah inisiatif Budi Madani yang menetapkan harga minyak pada RM1.99 seliter, walaupun dilihat sebagai penurunan daripada harga asal RM2.05, terus mengundang pelbagai reaksi rakyat.

Menurut Dr Azam Rauzan, Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, meskipun langkah kerajaan berniat baik, pelaksanaan dasar tersebut mencetuskan beberapa isu yang wajar diberi perhatian segera.

“Benar harga turun 6 sen, tapi kenapa rakyat masih marah? Salah satunya kerana sistem yang digunapakai terlalu membebankan. Setiap kali isi minyak perlu tunjuk IC. Bayangkan kalau hilang IC atau sistem tergendala, rakyat terpaksa bayar harga penuh RM2.60,” jelas beliau.

Dr Azam turut mendedahkan aduan orang ramai yang mengalami kesulitan apabila had subsidi ditetapkan hanya 300 liter sebulan. Bagi pekerja yang banyak menggunakan kenderaan seperti pemandu e-hailing, jumlah itu dianggap tidak mencukupi dan menambah beban kos sara hidup.

“Ada kawan saya yang ulang-alik kerja setiap hari, dalam dua minggu saja had 300 liter dah habis. Mereka terpaksa bayar harga lebih mahal. Takkan nak guna IC isteri atau anak semata-mata nak isi minyak?” katanya lagi.

Selain itu, isu paparan resit turut menimbulkan kekeliruan. Walaupun pengguna membayar pada harga subsidi, resit tetap mencatatkan harga asal RM2.60, seolah-olah kerajaan “mengingatkan” rakyat supaya bersyukur dengan subsidi.

“Rakyat rasa seperti dipersendakan. Dari dulu harga RM2.05, tiba-tiba ditulis RM2.60 lalu dipotong kononnya kita dapat untung besar. Sebenarnya beza hanya 60 sen, bukan RM40,” ujar Dr Azam.

Beliau menegaskan, kerajaan Madani perlu mengambil serius maklum balas rakyat serta melakukan penambahbaikan segera bagi memastikan dasar subsidi ini benar-benar berkesan tanpa menekan rakyat.

“Saya ucap terima kasih kepada kerajaan atas niat baik, tetapi perlaksanaan masih gagal. Kalau tidak diperbaiki, ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat kepada dasar-dasar kerajaan Madani,” tambah beliau.

#BudiMadani #SubsidiRON95 #RakyatMengeluh #IsuMinyak #KerajaanMadani #ICSetiapIsiMinyak #300LiterTakCukup #SuaraRakyat #MinyakRM199 #PerlaksanaanGagal

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f