
GOMBAK, 23 Oktober 2025 — Suasana di Batu 11 Gombak hari ini dipenuhi dengan rasa hiba dan harapan apabila seramai 23 keluarga penduduk kampung tampil membuat laporan polis bagi memohon penangguhan notis pengosongan dan perobohan rumah mereka yang dijangka berlaku dalam masa dua minggu lagi.
Laporan polis tersebut dibuat oleh Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah, bersama gabungan NGO seperti IRIM dan GMPN, serta Ahli Jawatankuasa Bertindak Rantau Utara Batu 11 Gombak.

Menurut Rani Kulup, laporan itu bukan bertujuan untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memohon pertimbangan dan ehsan kerajaan negeri Selangor agar memberi ruang masa kepada penduduk terbabit untuk menyusun semula kehidupan mereka.
“Kami buat laporan ini bukan untuk tuduh sesiapa. Tapi supaya ada perhatian dan simpati kepada 23 buah rumah yang terjejas. Kalau ada pemimpin telefon Jabatan Hutan, tangguh sekejap pun jadilah. Boleh kami tidur lena malam ini,” katanya kepada media.
Rani turut menjelaskan bahawa penduduk di kawasan berkenaan telah menerima notis perobohan merah bertarikh 9 Oktober lalu — setahun selepas notis pertama yang dikeluarkan pada Oktober 2024.
Turut hadir Imam Surau Silaturrahim Batu 11 Gombak, Ustaz Johani Ibrahim, yang turut menjadi salah seorang penduduk terjejas.
“Saya sudah tinggal di sini 20 tahun, malah ada jiran-jiran yang sudah menetap lebih 50 tahun. Kami bukan menolak pembangunan, cuma mohon pertimbangan untuk ditangguh sementara dan diberi penempatan baharu,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pemimpin tempatan seperti YAB Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, ADUN Gombak Setia, YB Hilman Idham, serta Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, yang disifatkan sebagai pemimpin cakna rakyat.
Setiausaha Jawatankuasa Bertindak, yang mewakili penduduk kampung, menambah bahawa kebanyakan penduduk yang terjejas adalah golongan B40 dan warga emas yang tidak mempunyai tempat tinggal alternatif.
“Ada antara kami yang tiada duit deposit rumah, ada yang menjaga ibu sakit. Kalau rumah ini dirobohkan, ke mana kami nak pergi? Kami hanya mohon sedikit masa untuk bersedia,” katanya.
Rani Kulup turut memaklumkan bahawa pihaknya akan menyerahkan memorandum rasmi ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dan Jabatan Perhutanan selepas solat Jumaat esok, bagi membincangkan jalan penyelesaian yang lebih berperikemanusiaan.
“AJK kami dah berusaha siang malam, telefon sana sini. Kalau ada pemimpin sudi campur tangan, tangguh sikit operasi ini, rakyat boleh bernafas lega,” ujarnya lagi.
Penduduk Batu 11 kini mengharapkan agar suara mereka didengari dan diberi kelegaan sementara, sementara menunggu keputusan muktamad daripada kerajaan negeri berhubung masa depan penempatan mereka.
#Batu11Gombak #MJMM #RaniKulup #GombakSetia #IsuPerobohan #RakyatPrihatin #KerajaanMadani #B40Malaysia #PrihatinRakyat #SuaraPenduduk