KUALA LUMPUR, 24 Oktober 2025 — Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menggesa agar Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menjalankan siasatan segera, telus dan menyeluruh terhadap sebuah koperasi terkenal yang didakwa terlibat dalam penyelewengan dana pelaburan melibatkan lebih RM2.4 juta milik 32 ahli.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, pihaknya menerima aduan daripada kumpulan ahli koperasi tersebut yang mendakwa telah menjadi mangsa kepada beberapa skim pelaburan yang disyaki tidak wujud, termasuk pelaburan mesin sejuk beku, papan iklan, dan simpanan emas.
“Ahli-ahli koperasi ini merupakan rakyat biasa yang dijanjikan pulangan pelaburan tinggi. Namun akhirnya, bukan sahaja keuntungan tidak diperoleh, malah modal pelaburan juga lesap begitu sahaja,” ujar Dato’ Hishamuddin.
Difahamkan, laporan polis telah dibuat pada penghujung tahun 2023 dan hasil maklum balas terkini daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa laporan-laporan berkenaan telah dirujuk kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tindakan lanjut.
Ekoran perkembangan tersebut, para pengadu hadir hari ini bagi mengemukakan aduan rasmi kepada SKM, memohon agar siasatan rapi dijalankan di bawah Akta Koperasi 1993.
“Kami mahu siasatan dilakukan dengan telus dan pantas. Jika benar wujud salah guna kuasa, penyelewengan atau pecah amanah, tindakan tegas perlu diambil terhadap individu bertanggungjawab,” tambah beliau.
Selain menuntut keadilan, para pengadu juga menyeru agar mekanisme kawal selia terhadap koperasi di seluruh negara diperketatkan, bagi memastikan tidak ada lagi rakyat yang menjadi mangsa janji-janji palsu pelaburan seumpama ini.
Dato’ Hishamuddin turut menegaskan bahawa kerjasama antara SKM, PDRM dan agensi penguatkuasaan lain amat penting dalam memulihkan keyakinan masyarakat terhadap sistem koperasi di Malaysia.

#MHO #Koperasi #PelaburanPalsu #MangsaTertipu #KeadilanUntukRakyat #SKMSiasat #PDRM #KoperasiMalaysia #HentikanPenyelewengan #BelaNasibRakyat