PUTRAJAYA – Malaysia terus menunjukkan kepemimpinan dalam memperkukuh kepercayaan global terhadap sistem pendidikan tinggi apabila menjadi tuan rumah kepada MQA Presidents’ Forum 2025, yang menghimpunkan pemimpin badan akreditasi dari lebih 20 negara di Le Méridien Hotel, Putrajaya, hari ini.
Forum anjuran Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) itu berfungsi sebagai platform strategik untuk membincangkan isu pengiktirafan kelayakan akademik rentas sempadan serta memperkukuh kolaborasi antarabangsa dalam mewujudkan sistem jaminan kualiti yang diiktiraf di peringkat global.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dalam ucapan perasmian berkata, dunia pendidikan tinggi kini memasuki fasa baharu yang menuntut pendekatan lebih inklusif dan saling mempercayai antara negara.

“Kita sedang berdepan transformasi besar akibat globalisasi, digitalisasi dan kemunculan teknologi kecerdasan buatan.
“Namun, sistem pengiktirafan kelayakan akademik yang masih berbeza antara negara menimbulkan cabaran kepada pelajar, graduan dan institusi pengajian tinggi.
Justeru, inisiatif seperti Putrajaya Motion amat penting sebagai langkah ke arah pembentukan sistem global yang lebih seragam dan saling diiktiraf,” katanya.
Beliau menegaskan, Malaysia komited memainkan peranan utama dalam membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang berpaksikan kepercayaan, keterangkuman dan kolaborasi antarabangsa, dengan fokus kepada penyelarasan dasar serta pelaksanaan yang mampan.
“Kita tidak boleh bergerak bersendirian. Hanya melalui kerjasama erat antara badan akreditasi dan pembuat dasar global, kita mampu membina masa depan pendidikan tinggi yang benar-benar diyakini dunia,” tambahnya.
Forum tahun ini turut menumpukan perbincangan terhadap cabaran baharu dalam dunia pendidikan digital, termasuk isu keselamatan data, pengiktirafan kelayakan dalam talian, dan peningkatan kes sijil akademik palsu di seluruh dunia.

Menurut Dr. Zambry, MQA kini sedang membangunkan sistem keselamatan digital berasaskan teknologi blockchain untuk memastikan dokumen akademik lebih telus, mudah disahkan dan bebas daripada penipuan.
“Langkah ini bukan sahaja melindungi integriti pendidikan tinggi, tetapi juga memperkukuh kepercayaan antarabangsa terhadap kelayakan akademik yang dikeluarkan oleh institusi di Malaysia,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan pangkalan data global (Global Register) bagi menyatukan maklumat kelayakan antarabangsa, selaras dengan agenda yang digariskan dalam Putrajaya Motion.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata MQA Presidents’ Forum 2025 merupakan kesinambungan daripada kejayaan edisi sebelumnya di Kuching pada tahun 2024, dan kali ini membawa dimensi lebih strategik.
Forum tersebut menampilkan empat tema utama iaitu Mobility Beyond Borders, Recognition in a Digital Era, Quality Assurance Through Collaboration, dan Building a Trust Ecosystem.

“Forum ini bukan sekadar tempat berkongsi pandangan, tetapi menjadi medan untuk membentuk hala tuju bersama bagi masa depan pendidikan tinggi global.
Malaysia mahu terus menjadi rujukan utama dalam bidang jaminan kualiti serta pemangkin kepada sistem akreditasi rentas sempadan yang berwibawa,” katanya.
Dalam forum berkenaan, MQA turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua agensi jaminan kualiti antarabangsa – National Agency for Academic Assessment and Accreditation (ANAAA, I.P.) dari Timor-Leste dan Foundation for International Business Administration Accreditation (FIBAA) dari Jerman.

Kerjasama ini dijangka membuka peluang luas dalam pertukaran kepakaran, pemantapan sistem akreditasi serta pembangunan keupayaan tenaga profesional dalam bidang jaminan kualiti pendidikan.
“Melalui MoU ini, Malaysia bukan sahaja memperkukuh jaringan antarabangsa, tetapi turut memperteguh reputasinya sebagai negara peneraju jaminan kualiti di rantau Asia Tenggara,” jelas Prof. Dr. Mohammad Shatar.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman; serta Pengerusi Majlis MQA, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
