KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2025 – Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia (PKMM), Nik Suryani Megat Deraman, mengecam keras tindakan seorang menteri yang didakwa mengugut wartawan Utusan Malaysia berhubung soalan profesional berkaitan penggunaan bahasa Inggeris dalam tema pelancongan rasmi kerajaan.

Menurut beliau, tindakan seperti itu bukan sahaja tidak wajar, malah mencalarkan imej kepimpinan serta menimbulkan persepsi negatif terhadap tahap kebebasan media di negara ini.

“Permusuhan terhadap media bukan sahaja tidak produktif, malah menjejaskan kredibiliti dan imej politik seseorang pemimpin, khususnya bagi mereka yang memegang jawatan Menteri,” tegas Nik Suryani.


Beliau menjelaskan, soalan wartawan terbabit adalah berasaskan dokumen rasmi kerajaan, iaitu Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraiannya P.O.1.1.1 – Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Semua Urusan Rasmi, yang telah diluluskan pada 9 Ogos 2022.

“Setiap program, projek, atau aktiviti kerajaan hendaklah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya – daripada nama, tema, tajuk, latar belakang hingga isi kandungan. Wartawan tersebut hanya menjalankan tanggungjawab memastikan pematuhan arahan rasmi kerajaan,” ujarnya lagi.

Nik Suryani turut menegaskan bahawa menteri berkenaan perlu bertanggungjawab atas tindakannya yang dianggap satu bentuk tekanan dan ugutan terhadap media.

“Menghormati wartawan dan organisasi media adalah tanda kepimpinan matang, bijaksana dan bertanggungjawab. Menteri dan pegawai kerajaan perlu sentiasa peka terhadap pekeliling rasmi kerajaan sendiri,” katanya.


Beliau turut merujuk kepada laporan antarabangsa seperti “Global Press Freedom Suffers Sharpest Fall in 50 Years” oleh International IDEA dan RSF World Press Freedom Index 2025, yang menunjukkan kemerosotan kebebasan media sejagat dikaitkan dengan kelemahan institusi politik dan sosial.

“Malaysia tidak harus menjadi sebahagian daripada statistik itu. Kebebasan media mesti dipertahankan, dan wartawan berhak menjalankan tugas secara profesional tanpa diugut,” tambah beliau.


PKMM menyeru agar semua pihak, terutamanya dalam kalangan menteri dan timbalan menteri, menghormati peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat, bukannya memusuhi atau menakut-nakutkan mereka.

#KebebasanMedia #JanganUgutWartawan #HormatiWartawan #BahasaMelayuDiutamakan #KepimpinanMatang #PKMM #UtusanMalaysia #TanggungjawabMenteri #MediaBebas #SuaraKebenaran

Leave a Reply