
KUALA LUMPUR, 4 November 2025 – Filem aksi paling dinantikan tahun ini, BANDUAN, adaptasi rasmi daripada filem pecah panggung India Kaithi, bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 6 November ini.
Malam Gala Tayangan Perdana yang berlangsung di TGV Suria KLCC menjadi tumpuan ramai apabila menghimpunkan barisan pelakon legenda tanah air seperti Dato’ Aaron Aziz, Dato’ Rosyam Nor, Dato’ Afdlin Shauki, Adlin Aman Ramlie, Esma Daniel, dan ramai lagi pelakon hebat.

Lebih menarik, acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran bintang asal versi India, Karthi Sivakumar, yang diterbangkan khas ke Kuala Lumpur bagi meraikan tayangan perdana adaptasi Malaysia ini — satu penghormatan besar kepada industri filem tempatan.
Kisah Aksi, Kasih dan Penebusan
Banduan mengisahkan Dali, seorang bekas banduan yang baru dibebaskan selepas 10 tahun penjara dan berhasrat untuk bertemu anak perempuannya buat kali pertama. Namun, perjalanan itu bertukar mendebarkan apabila Dali tanpa sengaja terlibat dalam misi berbahaya bersama Inspektor Johari bagi menyelamatkan anggota polis yang diracun dan dijadikan tebusan oleh kumpulan samseng dendam.
Menampilkan babak aksi yang mendebarkan dan sarat emosi, Banduan menonjolkan jiwa tempatan — dari dialog berbahasa Melayu penuh perisa, suasana jalanan Malaysia, hinggalah ke juadah ikonik seperti Nasi Dagang, menjadikannya adaptasi yang segar dan dekat di hati penonton.
Kemunculan Semula Raja Aksi Malaysia
Filem ini menandakan kemunculan semula Dato’ Aaron Aziz sebagai ‘Raja Aksi Malaysia’ yang memukau penonton dengan karisma dan tenaga luar biasa dalam setiap babak pertarungan.
Diarahkan oleh Kroll Azry dan diterbitkan oleh Number Twenty One Media dengan kerjasama Dream Warrior Pictures serta Astro Shaw sebagai rakan pemasaran dan pengedaran, Banduan turut melebarkan sayap ke Kanada, Amerika Syarikat, Brunei dan Singapura bermula 6 November ini.
Jambatan Filem India dan Malaysia
Menurut Penerbit Eksekutif, Kalyana Devan, pemilihan Kaithi sebagai bahan adaptasi adalah kerana jalan ceritanya yang universal dan menyentuh emosi kemanusiaan.
“Kami mahu Banduan menjadi jambatan budaya antara industri filem India dan Malaysia. Ia bukan sekadar filem aksi, tetapi kisah tentang kasih sayang, pengorbanan dan penebusan. Harapan kami agar Banduan diterima baik oleh penonton dan memperkukuh kedudukan filem tempatan di rantau ini,” katanya.
Menariknya, pada 23 Oktober lalu, filem Banduan telah diadakan tayangan istimewa di Kompleks Penjara Kajang yang dihadiri 80 penghuni penjara. Tayangan itu disertai sesi perkongsian inspirasi bertajuk “Peluang Kedua, Masih Ada Sinar”, membawa mesej harapan buat mereka yang mencari sinar baharu dalam hidup.
Saksikan Detik Aksi & Emosi Bermula 6 November
Banduan menjanjikan bukan sekadar letupan dan tembakan, tetapi perjalanan hati tentang kasih ayah, perjuangan dan keberanian manusia mencari makna kebebasan.
Tayangan bermula 6 November 2025 di semua pawagam seluruh negara.
Gunakan #Banduan dan kongsikan pandangan anda di media sosial. Ikuti juga perkembangan terkini filem ini melalui semua platform rasmi Astro Shaw.
#Banduan
#BanduanTheMovie
#AaronAzizIsBack
#RajaAksiMalaysia
#FilemTempatan
#KaithiAdaptation
#AstroShaw
#FilemMalaysia2025
#MestiTonton
#PeluangKedua