KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan pelantikan semula Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi tempoh dua tahun, bermula 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2027.

Pelantikan semula ini mencerminkan keyakinan berterusan pihak kerajaan dan industri terhadap kepimpinan Azmir dalam meneruskan agenda pemerkasaan industri filem dan kandungan kreatif negara.

Dalam ucapan penghargaannya, Azmir menzahirkan terima kasih kepada Menteri Komunikasi, Timbalan Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Pengerusi FINAS, serta Ahli-Ahli Perbadanan FINAS atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja FINAS serta  penggiat industri yang sentiasa bekerjasama secara erat dalam memacu kemajuan sektor kreatif Malaysia.

Azmir berkata, penggal baharu kepimpinannya akan memberi fokus kepada usaha memperkukuh dasar, perundangan dan insentif bagi memastikan pembangunan industri filem lebih mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Antara keutamaan beliau ialah pindaan terhadap Akta FINAS 1981 (Akta 244) bagi memperkemas sistem tadbir urus industri, melindungi kebajikan kru produksi, memodenkan sistem perlesenan dan menyesuaikan model pekerjaan kreatif dengan keperluan semasa.

Selain itu, pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) 2025–2035 akan menjadi pelan hala tuju utama yang menyeluruh bagi memperkukuh ekosistem industri kreatif.

Dasar ini merangkumi pembangunan Malaysia sebagai hab monetisasi harta intelek (IP), pengukuhan kolaborasi antarabangsa dalam bidang pembiayaan dan penerbitan bersama (co-production), serta penyelarasan naratif kebangsaan yang mampu menonjolkan identiti budaya Malaysia di peringkat global.

“Dalam memastikan daya tarikan pelaburan berterusan, Insentif Galakan Industri Filem (FIMI) bernilai RM110 juta disediakan bagi menggalakkan penerbit tempatan dan antarabangsa menghasilkan karya berkualiti tinggi di negara ini.

“Daripada jumlah itu, RM10 juta akan diperuntukkan khas bagi kandungan berteraskan semangat kenegaraan, sebagai usaha memperkukuh jati diri dan patriotisme melalui medium kreatif.

“Bagi menyemai bakat baharu dalam kalangan generasi muda, FINAS turut memperkenalkan Dana Belia Kreatif MADANI, yang bertujuan melahirkan pencipta kandungan muda berpengetahuan, beretika dan berjiwa patriotik.

“Inisiatif ini turut memberi tumpuan kepada penglibatan pelajar universiti dan komuniti belia di seluruh negara dalam bidang kreatif digital dan perfileman,” katanya.

Sepanjang tempoh kepimpinan Azmir dari 2023 hingga 2025, FINAS telah mencatat pelbagai kejayaan penting.

Industri filem tempatan menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan kutipan keseluruhan sekitar RM180 juta sehingga Oktober 2025, meningkat berbanding RM170 juta pada tahun sebelumnya.

Malaysia turut mencatat sejarah apabila filem tempatan berjaya menewaskan filem Hollywood di pasaran domestik selama tiga tahun berturut-turut.

Selain itu, beberapa karya tempatan seperti Abang Adik, Tiger Stripes, Raintown dan Imam berjaya menembusi festival antarabangsa, menandakan peningkatan kualiti dan pengiktirafan global terhadap sinema Malaysia.

“Melangkah ke hadapan, FINAS melihat dua tahun akan datang sebagai tempoh penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia di pasaran serantau.

“Ekosistem pawagam kini kembali stabil, manakala platform penstriman global seperti Netflix, iQiyi, Viu dan Astro terus melabur dalam kandungan tempatan, membuktikan potensi besar pasaran kreatif negara.

“Siri popular seperti Bidaah, One Cent Thief dan Nenek Si Bongkok Tiga menjadi bukti nyata bahawa kandungan Malaysia semakin diterima di pentas antarabangsa.

“FINAS juga akan memperluas pelaksanaan Skim Co-Production Antarabangsa dan memperkenalkan Model Pembiayaan Filem (Film Financing Model) baharu yang lebih fleksibel dan inklusif bagi menarik pelaburan serantau serta global, katanya.

Dalam konteks serantau, Malaysia turut memainkan peranan penting apabila menjadi tuan rumah kepada pelancaran Deklarasi Belia Kreatif ASEAN semasa ASEAN Film & TV Summit 2025.

Deklarasi terbabit adalah komitmen kolektif generasi muda ASEAN dalam menjunjung integriti kreatif, kepelbagaian budaya dan keterangkuman naratif sinema Asia Tenggara sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju kepimpinan budaya di rantau ini.

Azmir berkata, FINAS kini berada pada landasan transformasi baharu dengan misi untuk menjadi organisasi yang lebih mesra industri, cekap dan berwibawa.

“FINAS akan memperkukuh fasiliti teknologi di Hulu Kelang sebagai pusat kecemerlangan produksi serta memperluas infrastruktur kandungan di Sabah dan Sarawak.

“Melalui inisiatif Borneo Content, Malaysia berhasrat menonjolkan kepelbagaian budaya dan warisan Borneo sebagai aset strategik negara,” katanya.

Beliau berkata, FINAS akan terus memberi komitmen untuk menjadikan industri filem Malaysia sebagai sektor yang mampan, inklusif dan berdaya global, selain berperanan menyumbang kepada perpaduan nasional serta pertumbuhan ekonomi negara.

By Cynthia

Leave a Reply