KUALA LUMPUR, 7 November 2025 – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan bahawa UMNO sentiasa bersikap terbuka dan tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana bekas ahlinya yang ingin kembali bersama perjuangan asal parti keramat Melayu itu.

Mengulas mengenai harapan agar Khairy Jamaluddin (KJ) kembali ke pangkuan UMNO, Dr Akmal berkata beliau menyambut baik sebarang usaha penyatuan dalam kalangan ahli lama dan baharu, selagi mana ia dilakukan mengikut saluran yang betul dan dengan niat yang ikhlas memperkukuh perjuangan parti.

“UMNO ini tidak boleh dipecah-pecahkan, kita perlu disatukan. Jadi, mana-mana ahli yang masih setia dan percaya dengan perjuangan UMNO, kita alu-alukan kehadiran mereka,” katanya.

Tambah beliau, prinsip keterbukaan UMNO tidak hanya terhad kepada KJ semata-mata, malah turut melibatkan mana-mana ahli yang pernah digantung atau dipecat sebelum ini.

“Bukan saja KJ, malah semua yang digantung atau dibuang — jika masih kekal setia dan ingin kembali memperjuangkan UMNO, mereka dialu-alukan. UMNO tak pernah menghalang mana-mana pimpinan untuk berjumpa dengan ahli yang telah dibuang,” katanya lagi.

Dr Akmal turut mendedahkan bahawa beliau sendiri pernah bertemu dengan beberapa tokoh UMNO yang kini berada di luar parti seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Shahidan Kassim, dan Khairy Jamaluddin tanpa sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

“Saya jumpa mereka semua, dan tak pernah ada sesiapa dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) marah atau ambil tindakan. Sebab itulah saya kata UMNO ini parti yang terbuka,” ujarnya.

Mengakhiri kenyataan, Dr Akmal menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk ahli-ahli UMNO menghentikan perpecahan dalaman dan kembali memperkukuhkan parti untuk menghadapi cabaran politik masa depan.

“Tak perlu bergaduh lama-lama. Biarlah kita bersatu, bertaut, dan bawa UMNO ke depan. Itu yang paling penting,” tegas beliau.

#UMNO #AkmalSaleh #PemudaUMNO #KhairyJamaluddin #KJ #PolitikMalaysia #UMNOBersatu #PerpaduanUMNO #MalaysiaPolitics #PartiKeramat

Leave a Reply