KUALA LUMPUR, 7 November 2025 – Ketua Pemuda UMNO Malaysia merangkap ADUN Merlimau, YB Datuk Dr. Akmal Saleh, menyifatkan penganjuran Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 1.0 sebagai satu langkah penting dalam mencari solusi menyeluruh terhadap isu sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, sambutan luar biasa terhadap program berkenaan membuktikan rakyat, khususnya generasi muda dan para pendidik, amat prihatin terhadap hala tuju pendidikan Malaysia.

“Kita tak sangka sambutannya sebegini besar. Awalnya kita buat di auditorium sebab jangkaan tak ramai, tapi kehadiran hari ini melebihi kapasiti yang disediakan,” kata beliau.


Program RIMBUN 1.0 menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, guru, wakil PIBG, serta Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Perbincangan dikatakan berjalan dengan penuh semangat, menghasilkan pelbagai idea bernas dan cadangan membina.

“Kita tak mahu sesi ini sekadar sembang kosong. Semua dapatan akan digarap dan dihimpunkan dalam satu laporan menyeluruh untuk diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” jelas Dr. Akmal.


Beliau turut menegaskan bahawa resolusi akhir hasil siri perbincangan ini akan dibentangkan kepada Menteri Pendidikan sendiri, dengan harapan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada resolusi yang dicadangkan dapat dilaksanakan.

“Kita bukan hanya bercakap. Kita mahu tindakan. Kalau 10 resolusi kita bagi, sekurang-kurangnya 5 mesti dilaksanakan,” tegas beliau.


Menariknya, Dr. Akmal turut mengumumkan bahawa RIMBUN akan menjelajah ke seluruh negara sebagai satu tour pendidikan nasional, bermula di Melaka pada bulan Disember ini.

“RIMBUN 1.0 ini tak akan berakhir hari ini. Kita akan teruskan ke seluruh negara untuk dapatkan input daripada semua pihak — daripada akar umbi hingga ke pembuat dasar,” katanya lagi.


Beliau turut memanjangkan jemputan rasmi kepada Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan untuk hadir sebagai panelis dalam sesi akan datang, bagi mendengar sendiri pandangan rakyat mengenai dasar dan pelaksanaan pendidikan negara.

“Kita nak pastikan dasar pendidikan bukan hanya dibuat dari menara gading di Putrajaya, tetapi datang daripada suara rakyat di sekolah-sekolah — baik di bandar mahupun luar bandar,” ujar beliau mengakhiri sidang media tersebut.


RIMBUN 1.0 menjadi platform baharu yang membuka ruang kepada rakyat menyuarakan pandangan terhadap sistem pendidikan, sekaligus membuktikan bahawa reformasi pendidikan hanya akan berjaya jika dilaksanakan melalui semangat kerjasama nasional dan inklusif.

#RIMBUN1_0
#PendidikanUntukSemua
#AkmalSaleh
#PemudaUMNO
#ReformasiPendidikan
#SuaraRakyat
#AnakMudaPrihatin
#MelakaBangkit
#DialogNasional
#PendidikanMalaysia

Leave a Reply