KUALA LUMPUR, 15 November 2025 — Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, menyuarakan rasa kecewa terhadap situasi penyelenggaraan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan dakwaan berlaku kebocoran bumbung dan kelemahan pengurusan infrastruktur di premis tersebut.

Menurut beliau, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku bagi sebuah lapangan terbang antarabangsa yang menjadi pintu masuk utama negara.

“Aiyo sedihlah. Ada tempat bocor lagi… Belum runtuh pun sudah bocor. Kalau tengok negara-negara lama macam Rome, Paris, Genova, berkurun bangunan mereka masih kukuh. KLIA pula baru beberapa dekad sudah ada masalah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa isu sebenar bukan sekadar kecacatan fizikal, tetapi kegagalan penyelenggaraan dan ketelusan dalam pengurusan kontraktor.

“Kalau penyelenggaraan dilakukan dengan betul, semua ini tidak berlaku. Masalah timbul apabila kerja tidak dibuat secara profesional,” tambahnya.

Dato’ Dr. Kalaivanar turut menggesa pihak berkuasa, termasuk pengurusan lapangan terbang dan jabatan berkaitan, untuk melakukan semakan menyeluruh terhadap operasi, pelesenan kedai, tenaga kerja serta penguatkuasaan.

Katanya, KLIA sebagai simbol negara tidak boleh dibiarkan berada dalam keadaan yang menimbulkan persepsi negatif di mata pelancong dan masyarakat antarabangsa.

Beliau menyeru kerajaan dan agensi berkaitan untuk mengambil tindakan segera demi memulihkan keyakinan rakyat dan memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna.

#KLIA #IsuPenyelenggaraan #AuditKLIA #InfrastrukturMalaysia #KetelusanKontraktor #Penguatkuasaan #SuaraRakyat #AATVNews #AktivisSosial #MalaysiaKu

Leave a Reply