Seruan Himpunan Aman 19 November 2025
KUALA LUMPUR, 15 November 2025 — Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, tampil mengeluarkan satu kenyataan media menggesa kerajaan — khususnya Kementerian Pengangkutan — mengkaji semula dasar menghadkan kelajuan bas kepada 90 km/j yang didakwanya tidak praktikal serta membebankan pemandu dan pengusaha industri pengangkutan darat.
Beliau menegaskan bahawa polisi baharu itu perlu dinilai semula secara menyeluruh kerana ia memberi kesan langsung terhadap operasi harian pemandu bas, pemandu lori serta para pengusaha yang bergantung kepada masa perjalanan yang efisien.
Menurutnya, cadangan had laju 90 km/j itu tidak mengambil kira situasi sebenar di lebuh raya yang memerlukan bas bergerak lebih laju untuk memotong lori atau mengelakkan kesesakan.
“Kalau menteri sendiri bawa kereta 90 km/j tanpa eskort dari Kuala Lumpur ke Seremban, barulah layak cadangkan undang-undang ini,” tegasnya.
Bukan Menentang Kerajaan, Hanya Mahukan Polisi Realistik
Dalam kenyataannya, Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan beliau dan kumpulan yang akan berhimpun bukan menentang kerajaan atau menteri, tetapi menuntut agar dasar yang memberi kesan kepada ribuan pekerja industri pengangkutan dikaji semula.
Beliau turut mengingatkan bahawa statistik kemalangan menunjukkan majoriti kejadian melibatkan motosikal dan kereta, bukan bas dan lori.
“Kita mahu polisi dikaji semula. Itu sahaja. Kita bukan anti-kerajaan, bukan anti-Anthony Loke,” katanya.
Seruan Himpunan Aman 19 November
Dato’ Dr. Kalaivanar menyeru pemandu bas, pemandu lori dan para pengusaha seluruh negara untuk hadir secara aman pada 19 November, jam 2 petang di Parlimen, bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri.
Beliau menegaskan himpunan itu mesti berlangsung tanpa provokasi, tanpa sebarang unsur politik, dan hanya bagi memperjuangkan hak masyarakat marhaen dalam industri pengangkutan.
“Datang ramai-ramai, tapi jangan provoke. Jangan bawa nama parti. Kita wakili pemandu, pengusaha, rakyat marhaen. Ini suara mereka.”
Harapan Agar Perdana Menteri Campur Tangan
Beliau berharap Perdana Menteri akan menasihati Kementerian Pengangkutan untuk menilai semula dasar tersebut agar tidak membebankan rakyat, khususnya mereka yang bekerja sebagai pemandu komersial.
“Kalau kita tak bersuara, polisi ini tak akan dikaji. Kita harap Perdana Menteri dapat tengok serius isu ini.”
Dato’ Dr. Kalaivanar turut meminta agar peserta yang hadir mematuhi peraturan, mencari tempat parkir yang sesuai serta berjalan kaki ke kawasan Parlimen secara tertib.
#AATVNews #IsuPengangkutan #HadLajuBas #SuaraPemandu #Kalaivanar #AnthonyLoke #ProtesAman #PemanduLoriMalaysia #PengusahaBas #ReformasiPengangkutan