PETALING JAYA – Helroad Films sekali lagi menghidupkan dunia seram pasung melalui karya terbaharu mereka, Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai, susulan kejayaan filem pertamanya yang mencetuskan perhatian besar di Indonesia dan Malaysia pada 2022.
Selepas tiga tahun, sekuel ini hadir dengan pendekatan lebih mendalam, gelap dan sarat unsur budaya, membawa penonton menyelami sisi kepercayaan lama masyarakat yang masih menjadi perdebatan sehingga kini.
Penerbitnya, Helfi Kardit, berkata tema pasung tetap menjadi teras utama untuk naskhah kedua ini.
Menurutnya, pemilihan tema tersebut bukan sekadar untuk menghidupkan elemen seram, tetapi juga berkait rapat dengan pengalaman peribadinya ketika menetap di sebuah daerah di Sumatera, di mana beliau sendiri pernah melihat pesakit mental dirawat dengan kaedah pasung di sebuah rumah khas.
Walaupun digelar sekuel, Menjelang Magrib 2 bukan kesinambungan langsung daripada kisah terdahulu, sebaliknya dianggap sebagai sebuah spin-off yang berdiri sendiri.

“Filem ini menggabungkan kisah budaya, aspek mistik dan kepercayaan tahayul yang bertembung dengan dunia perubatan moden, menjadikannya bukan sekadar filem seram semata-mata,” katanya.
Menariknya, latar masa filem ini ditempatkan pada era 1920, ketika tanah Indonesia masih berada di bawah pemerintahan Hindia Belanda.
Melalui suasana kolonial yang tidak stabil itu, filem ini memaparkan bagaimana masyarakat ketika itu bergelut antara kepercayaan tradisional dan perubahan yang dibawa ilmu pengetahuan moden.

Dibintangi oleh Aditya Zoni, Ajeng Fauziah, Muthia Datau, Aisha Kastolan dan Aurelia Lourdes, filem ini menampilkan watak-watak yang membawa penonton menelusuri ketakutan psikologi dan ritual budaya yang menggigit emosi.
Sambutan di Indonesia sejak tayangan pada 4 September lalu turut memberangsangkan, memberikan keyakinan kepada penerbit untuk mencipta impak yang sama di Malaysia.
Helfi juga optimis terhadap penerimaan peminat tempatan memandangkan Menjelang Magrib pernah mencatat kutipan hampir RM2 juta di Malaysia.

“Keunikan gabungan seram dan budaya menjadikan filem ini lebih dekat dengan hati penonton Nusantara,” katanya.
Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai akan mula menghantui pawagam seluruh Malaysia bermula 20 November 2025, menjanjikan suasana seram berlapis budaya yang lebih pekat dan mendebarkan.
Sinopsis:
Kisah ini berlatarkan tahun 1920, mengisahkan Giandra, seorang doktor muda lulusan STOVIA yang menemui laporan akhbar mengenai seorang gadis bernama Layla yang dipasung di Desa Karuhun.

Pada masa itu, kaedah pasung dianggap sebagai rawatan untuk penyakit mental, dilakukan oleh dukun dengan cara yang bercanggah sepenuhnya dengan prinsip perubatan Giandra.
Tiba di desa yang terletak di kaki gunung, Giandra bertemu Rikke, seorang wartawan kacukan Belanda-tempatan yang turut mencari jawapan di sebalik kisah Layla dan kepercayaan pasung yang menghantui penduduk setempat.