KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, tampil mengulas perkembangan politik semasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, khususnya isu keluar parti yang kembali hangat apabila UPKO mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan.

Menjawab soalan wartawan mengenai fenomena ini, Dr. Azam menyifatkan landskap politik Sabah sebagai unik dan kompleks berbanding negeri lain.

Menurutnya, persaingan di Sabah sering menyaksikan satu kerusi ditandingi sehingga tujuh atau sembilan calon, yang didakwa beliau sebagai berpaksikan kepentingan peribadi dan tawaran material.

“Sabah dan Sarawak sangat berbeza. Sarawak ada etika politik yang tinggi. Di Sabah, apabila satu kerusi ada lima, tujuh, sembilan calon—semuanya berpaksi kepada duit. Cakap Sabahan for Sabahan, tapi siapa yang sakau? Tetap orang Sabah juga,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu rasuah, dengan mendakwa persepsi masyarakat terhadap keberkesanan siasatan dan tindakan SPRM perlu diperbetulkan.

“Kenapa orang jadi rasuah? Sebab masyarakat lihat seolah-olah ia macam perdagangan. Kes tertentu yang selesai hanya dengan bayar balik—ini yang menimbulkan tanda tanya,” katanya.

Tambah Dr. Azam, politik keluarga di Sabah juga kerap mempengaruhi pola undian.

“Satu rumah pun bercampur — atuk parti lain, nenek parti lain, cucu parti lain. Semua ikut siapa tawarkan lebih,” ujarnya.

Walaupun enggan mengulas panjang mengenai UPKO keluar PH, beliau meramalkan kemungkinan parti-parti tertentu kembali bekerjasama selepas PRN.

Dr. Azam juga sempat berpesan kepada Khairy Jamaluddin (KJ) agar tidak melupakan Sabah jika ingin kekal relevan dalam Barisan Nasional.

“KJ, jangan lupa datang Sabah. Baru Presiden MKT nampak kemuliaan dan kesetiaan kamu kepada BN,” selorohnya di hujung sesi.

#PRNSabah #PolitikSabah #UPKO #PakatanHarapan #UMNO #BarisanNasional #IsuRasuah #AATVNews #SabahPolitics #PRN2025

Leave a Reply