KUALA LUMPUR, 19 November 2025 — Suasana di pekarangan Parlimen hari ini hangat apabila aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar bersama gabungan Solidariti 1.0 Pemandu Lori menyerahkan memorandum tuntutan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung dakwaan tindakan penguatkuasaan melampau terhadap pengusaha dan pemandu lori di seluruh negara.

Dato’ Dr Kalaivanar dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara menuntut penjelasan segera daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, termasuk pembatalan saman berulang, penggantungan lesen GDL, penyitaan lori serta proses timbang muatan yang didakwa tidak konsisten.
Menurut Dato’ Dr Kalaivanar, masalah ini telah menjerut pendapatan ribuan pemandu lori sehingga ada yang bergelut meneruskan hidup.

“Kita dah beritahu tujuan kita – bukan ugut, hanya mahu serah memorandum.
Mengapa seorang menteri yang gaji lebih RM60,000 tidak turun?
Saya bagi 48 jam kepada Anthony Loke untuk jawab,” katanya lantang.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan yang sedia ada “tidak masuk akal” dan perlu disemak semula supaya tidak membebankan rakyat kecil.
Suara Pemandu Lori: ‘Kami Tidak Minta Kaya, Kami Minta Peluang Cari Rezeki’
Antara suara paling menyentuh perasaan datang daripada seorang pemandu lori dari Temerloh, Pahang, yang berkongsi kesusahan sebenar golongan itu.


“Kami di jalan 24 jam. Tak tidur, tak rehat, jaga jalan dan jaga keluarga.
Kalau lesen digantung setahun lebih, macam mana anak bini makan?”
Seorang lagi pemandu dari Kelantan menggesa kerajaan meneliti isu ketidaksepadanan bacaan timbang di kuari dan timbang JPJ, yang menyebabkan pemandu berdepan risiko lucut hak milik.
Tuntutan mereka merangkumi tiga isu utama:
Ketidakseragaman timbang (kuari vs JPJ) sehingga menyebabkan bacaan muatan tidak tepat.
Gantung GDL yang menghalang pemandu bekerja.
Tindakan penyitaan dan saman yang dianggap keterlaluan.
Memorandum 27 Tuntutan Diserahkan kepada Wakil MOT
Walaupun Anthony Loke tidak menonjolkan diri ke luar kawasan Parlimen, memorandum tersebut diterima oleh pegawai JPJ melalui Mej (B) Adli Azmi bin Ahmat, Wan Salkhan bin Wan Ahamed dan Mohd Alifarihan bin Abdullah
Dato’ Dr Kalaivanar berkata, pihaknya tidak malu kerana wakil JPJ hadir — tetapi percaya tindakan sebenar masih memerlukan komitmen menteri.
“Kalau beliau benar wakil rakyat dan menteri, tampil dan jawab.
Solidariti 2.0 akan digerakkan jika tiada jawapan,” tegasnya.
#SolidaritiPemanduLori #MOT #IsuRakyat #KeadilanPemanduLori #TimbangTidakSeragam #GDL #SuaraRakyat #PenguatkuasaanBerpatutan #AATVNews #48JamJawapan