
KOTA KINABALU, 19 November 2025 – Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, menegur kandungan laporan Malaysiakini berhubung ucapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang didakwa tidak menggambarkan maksud sebenar kenyataan beliau mengenai isu hak hasil 40 peratus Sabah.
Menurut Zulkarnain, laporan bertajuk “‘Tahun hilang’ hak 40% Sabah: Hajiji enggan cabar pendirian PM” boleh mencetuskan persepsi tidak tepat kepada rakyat Sabah seolah-olah Hajiji tidak mempertahankan hak negeri itu.
“Ini adalah tajuk yang mengelirukan. Dalam ucapan beliau, tidak ada satu pun ayat menunjukkan Hajiji ‘enggan mencabar’ Perdana Menteri. Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa Perdana Menteri sendiri telah memberi jaminan bahawa kerajaan Persekutuan tidak merayu mengenai hak 40 peratus hasil itu,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan pelancaran jelajah kempen GRS di DUN Usukan dan Tempasuk semalam, di mana Hajiji menegaskan bahawa rayuan kerajaan Persekutuan hanya melibatkan aspek teknikal keputusan mahkamah, bukan hak 40 peratus hasil Sabah.
Zulkarnain menjelaskan bahawa pembingkaian laporan Malaysiakini berpotensi menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat, terutama mereka yang mengikuti rapat perkembangan rundingan semakan hasil Sabah–Persekutuan di bawah MA63.
“Apabila tajuk memberi gambaran konfrontasi — kononnya Hajiji enggan mencabar PM — ia boleh mencalar imej beliau sedangkan ucapan asal langsung tidak berbau sedemikian. Ini tidak adil kepada beliau dan kepada rakyat Sabah yang mahukan maklumat tepat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan portal berita itu supaya lebih berhati-hati melapor isu sensitif berkaitan MA63 bagi mengelakkan sentimen tidak berasas.
“G57 menegaskan pentingnya laporan yang telus dan tepat. Rakyat berhak mendapat fakta sebenar tanpa olahan yang mengelirukan. Jika tiada tindakan pembetulan dibuat, saya tidak akan teragak-agak melaporkan perkara ini kepada SKMM dan PDRM,” tegas beliau.
Ucapan Hajiji pada program berkenaan turut menyatakan keyakinan bahawa rundingan Sabah–Persekutuan yang sedang berlangsung akan terus meningkatkan pendapatan negeri itu pada masa hadapan.
#AATVNews #G57 #Hak40Peratus #SabahBangkit #MA63 #HajijiNoor #BeritaSabah #IsuSemasa #KetelusanMedia #RakyatBerhakTahu