KAMPAR, 21 November 2025 — Suasana di Taman Bandar Baru Kampar hari ini hangat apabila aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara bergegas ke lokasi bagi menyuarakan bantahan terhadap cadangan pembinaan pusat dialisis oleh St. John Ambulance Malaysia di atas kawasan padang perumahan yang didakwa telah digazet sebagai tapak rekreasi penduduk.

Menurut beliau, pembinaan tersebut bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai status tanah, malah didakwa menggugat hak penduduk yang telah lama menetap di kawasan berkenaan.

“Padang ini digazet. Ia bukan tanah bebas bina. Bagaimana cadangan projek seperti ini boleh diluluskan? Rakyat ada hak. Undang-undang negara bukan boleh berubah ikut suka,” tegasnya.

Tuduhan caj mahal & tiada perkhidmatan percuma

Dato’ Dr. Kalaivanar turut mendakwa St. John Ambulance bukanlah penyedia perkhidmatan dialisis percuma seperti yang sering digambarkan, sebaliknya mengenakan caj ribuan ringgit kepada pesakit.

“Saya sendiri pernah taja tiga pesakit dengan kos RM2,500 seorang. Saya ada semua resit. Kalau lambat sehari pun, rawatan tidak diberikan. Ini bukan perkhidmatan sosial percuma seperti yang diwar-warkan,” katanya sambil menyatakan kesediaan untuk disaman jika dakwaannya tidak benar.

Beliau turut menggesa Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad, untuk menyiasat isu ini secara serius.

Penduduk dakwa tidak dimaklumkan

Penduduk setempat pula mendakwa projek pembinaan tersebut muncul tanpa pengetahuan mereka, termasuk kewujudan papan tanda yang dipasang secara tiba-tiba.

Seorang penduduk, Encik Gunalan, yang tinggal di kawasan itu lebih 30 tahun, meluahkan rasa kecewa apabila pelan asal yang dijanjikan kepada pembeli rumah didakwa tidak dipatuhi.

“Kami diberitahu padang ini kekal sebagai kawasan rekreasi. Tiada siapa maklumkan perubahan. Tiba-tiba ada plan, ada papan tanda. Majlis Daerah Kampar pun kata mereka tak tahu. Bagaimana boleh tak tahu?” katanya.

Penduduk lain, Mdm Anne, pula mempersoalkan mengapa projek kesihatan berskala besar perlu dibina di tengah kawasan perumahan ketika terdapat banyak lot kedai dan kawasan komersial kosong di Kampar.

“Kampar ada banyak shop lot kosong. Hospital UTAR pun dekat. Kenapa mesti bina di kawasan penduduk? Kalau rumah orang lain, bolehkah mereka terima hospital atau pusat dialisis betul-betul di belakang rumah mereka?” ujarnya.

Penduduk juga memaklumkan mereka menghubungi wakil parti politik termasuk DAP dan MCA, namun dimaklumkan bahawa tiada tindakan boleh diambil.

Penduduk gesa ketelusan & penjelasan rasmi

Isu ini kini menjadi perhatian ramai selepas penduduk mendakwa surat permohonan penjelasan kepada pihak berkuasa tempatan termasuk YDP Majlis Daerah Kampar masih belum mendapat maklum balas jelas.

Penduduk menuntut satu penjelasan terbuka serta jaminan bahawa hak mereka sebagai pembeli rumah yang dijanjikan kawasan rekreasi tidak diabaikan.

Sementara itu, AATV sedang mendapatkan respons rasmi daripada pihak St. John Ambulance Malaysia, Majlis Daerah Kampar, PTG Perak serta pihak berkaitan bagi memastikan semua sudut dilapor secara seimbang.

#AATVNews #KamparBangkit #HakRakyat #IsuKampar #SuaraPenduduk #TanahGazet #BantahanProjek #DialisisCenter #RakyatTertindas #AATVInvestigates

Leave a Reply