ULU BERNAM, 21 November 2025 – Pengerusi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), Datuk Dr. Kalaivanar, mengesahkan bahawa tempoh 48 jam yang diberikan kepada Menteri Pengangkutan untuk memberi penjelasan berhubung tuntutan Memorandum Solidariti 1.0 telah berakhir tanpa sebarang maklum balas.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai satu kegagalan kementerian untuk menghormati suara pemandu dan pengusaha lori yang sudah lama tertekan dengan pelbagai isu.

Menurut Dr. Kalaivanar, kegagalan itu membuka ruang kepada gerakan baharu yang lebih besar dan lebih tegas.

“Kami sedang mempertimbangkan untuk menggerakkan Soladiriti 2.0, satu gerakan yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini. Jika mereka tidak buka pintu rundingan, kami akan buka pintu tindakan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pemandu dan pengusaha lori kecewa kerana isu-isu asas yang dibangkitkan dalam memorandum masih tidak dijawab, termasuk:

penggantungan lesen semua kelas yang dianggap keterlaluan,

saman yang terlalu tinggi, serta

penguatkuasaan yang dirasakan tidak munasabah dan membebankan.

Dr. Kalaivanar menegaskan SBKN bukan menentang mana-mana individu dalam kementerian.

“Kami bukan lawan orang. Kami lawan dasar yang menekan rakyat. Keselamatan kami sokong, tetapi putar belit dan pelaksanaan yang menzalimi pemandu, itu kami tolak,” tegasnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa jika kementerian terus berdiam diri, SBKN akan mengumumkan agenda susulan dalam masa terdekat.

#SolidaritiPemanduLori #SBKN #Solidariti20 #TuntutanRakyat #IsuPengangkutan #TekananPemanduLori #KeadilanUntukPemandu #KementerianPengangkutan #AATVNews #BersamaRakyat

Leave a Reply