
KUALA LUMPUR, 20 November 2025 – Pengembaraan tiga sahabat yang pada asalnya sekadar mahu berseronok menaiki motorhome bertukar kecoh apabila kemunculan seorang gadis misteri dari Ukraine muncul secara tiba-tiba — sekaligus mencetuskan rangkaian insiden huru-hara yang mendebarkan namun menggelikan hati.
Itu antara plot utama yang diangkat dalam filem aksi komedi terbaharu berjudul KLEPET, terbitan Wawa Global Sdn. Bhd., arahan pengarah baharu, Indra Putra atau Sanji.
Indra menjelaskan, tarikan utama yang membuatkan beliau menerima cabaran mengarah filem ini adalah kerana gaya penceritaannya yang unik serta pembikinan yang tampil berbeza daripada naskhah komedi aksi tempatan sebelum ini.

“Klepet menggabungkan komedi pelbagai lapisan — komikal, animasi, hinggalah lawak rawak yang spontan mengikut babak. Pendekatan ini menjadikan Klepet sebagai sesuatu yang ‘fresh’ dan lain daripada kebiasaan,” katanya.
Filem ini turut menampilkan tiga pelakon lelaki popular sebagai tunjang utama — Aedy Ashraf, Meerqeen dan Nadhir Nasar — yang buat pertama kali digandingkan bersama dalam sebuah naskhah aksi komedi. Gabungan mereka diperkukuhkan lagi dengan penampilan pelakon hebat lain seperti Aeril Zafrel, Joey Daud, Eric Fuzi, Namie SMY, Adlin Aman Ramlie serta pelakon asal Ukraine, Darina Porhun.


Penerbit Klepet, Aeril Zafrel berkata filem ini bukan sekadar hiburan semata-mata. Sebaliknya, ia membawa mesej sosial yang relevan, terutama tentang persahabatan, pengorbanan dan kepekaan terhadap apa yang berlaku di sekeliling.
“Kami tak buat Klepet sekadar untuk ketawa. Ia dekat dengan jiwa anak muda, dan kami mahu ia menjadi hiburan keluarga yang ada nilai inspirasi,” jelas Aeril.


Penggambaran Klepet dijalankan sepenuhnya di Melaka selama 25 hari dengan kos penerbitan RM2.6 juta, serta mendapat bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada FINAS.
Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 27 November 2025. Tiket kini sudah mula dijual melalui laman web dan aplikasi TGV.


SINOPSIS RASMI
Tiga sahabat — Paly, Jany dan Wady — memulakan perjalanan santai menggunakan motorhome. Namun segalanya berubah apabila kemunculan Lola, gadis misteri dari Ukraine yang membawa bersamanya pelbagai drama. Belum sempat menyelesaikan masalah Lola, muncul pula hitman, ditambah pula dengan penemuan duit berkepuk — membawa trio ini ke dalam situasi kacau-bilau yang tidak dijangka.
Berjayakah mereka mengharungi trip paling huru-hara dalam hidup mereka, atau tenggelam dalam masalah “klepet” ciptaan sendiri?

#KlepetTheMovie #AksiKomediMalaysia #FilemBaru2025 #HeroMalaya #AedyMeerqeenNadhir #WawaGlobal #AerilZafrel #FINAS #FilemMelaka #AATVEntertainment