KUALA LUMPUR, 24 November 2025 — Isu pembinaan sebuah struktur plaza tol di laluan menuju ke Genting Highlands terus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pengguna jalan raya dan penduduk setempat. Ramai meluahkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa kewujudan struktur tersebut berlaku secara tiba-tiba dan tanpa makluman jelas daripada pihak berkuasa.

Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan atau dikenali Toqqi mengesahkan pihaknya turut menerima banyak aduan daripada masyarakat yang keliru dan mempersoalkan status serta kelulusan projek berkenaan.

Menurut beliau, pasukan PPIM telah membuat semakan awal dan mendapati terdapat beberapa perkara yang meragukan.

“Kita pun menerima banyak panggilan daripada penduduk dan pemandu. Mereka tanya, ‘Eh, apa hal ni tiba-tiba ada tol?’ Kita pun pelik. Team kita dah cek, dari mana datang kelulusan ini? Bagaimana autoriti boleh terlepas kepada individu? Siapa yang beri kuasa untuk bina tol?” katanya.

Nadzim menegaskan bahawa pembinaan struktur tol bukan perkara kecil kerana ia melibatkan keselamatan, aliran trafik, kemudahan awam dan kepentingan rakyat.

“Silap sikit pun, di sesetengah kawasan, langsung tak dibenarkan buat apa-apa struktur. Ini pula sudah ada bentuk, ada tempat menahan kenderaan… ini melibatkan transport, keselamatan dan orang ramai. Kita minta perkara ini disiasat segera oleh pihak berkuasa,” tambahnya.

PPIM menyeru pihak berkaitan tampil memberikan penjelasan terbuka supaya keresahan masyarakat dapat dirungkai, selain memastikan tiada pihak mengambil kesempatan melalui projek yang tidak jelas statusnya.

#PPIM #IsuTolGenting #HakRakyat #TanyaSiapaLulus #GentingHighlands #AduanPengguna #IsuSemasaMalaysia #Transparensi #SelamatkanPengguna #AATVNews

Leave a Reply