
KARAK – Dato’ Dr. Kalaivanar, Aktivis Sosial dan wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, tampil menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberikan penjelasan segera berhubung pelbagai isu yang didakwa membebankan pengusaha lori serta pemandu lori di seluruh negara.
Menurut beliau, pengusaha lori kini menjadi mangsa kepada beberapa tindakan dan polisi agensi di bawah Kementerian Pengangkutan, khususnya melibatkan prosedur timbangan dan penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dr. Kalaivanar menunjukkan contoh kes timbangan sebuah lori yang pada rekod pertama menunjukkan tiada lebihan muatan, tetapi pada hari sama, di lokasi berbeza, kenderaan sama didakwa telah direkodkan membawa muatan lebih 7,500kg.
“Ini Anthony nak jawab macam mana? Kita bukan bohong. Fakta ialah fakta,” katanya.
Beliau turut mengecam peraturan baharu berkaitan permit pengangkutan berkategori pengangkutan am, di mana menurutnya ia menyusahkan dan meningkatkan kos operasi pemilik lori.
“Kalau jagung, kena bawa jagung sahaja. Kalau kelapa sawit, kelapa sawit sahaja. Ini tak masuk akal. Dulu pengangkutan am boleh bawa semua kategori berkaitan. Menteri kena pakai otak, bukan lutut,” tegasnya.
27 Resolusi & Tuntutan Jawapan Dalam 48 Jam
Dr. Kalaivanar mendakwa pihaknya telah menyerahkan 27 resolusi kepada Kementerian Pengangkutan, namun sehingga kini tiada satu pun mendapat maklum balas.
“Awak menteri. Awak ada banyak agensi. Semua makan gaji. Baca dan jawab lah 27 resolusi itu. Mengapa berada di Sabah ketika rakyat di Semenanjung merana?” ujarnya.
Beliau menambah, pemandu lori kini terbeban dengan saman, sitaan dan pembatalan lesen GDL yang turut memberi kesan kepada lesen lain seperti B2 dan D.
“Kalau GDL dibatalkan, macam mana dia nak cari makan? Nak jual nasi lemak pun tak boleh. Kerajaan macam mendesak mereka melakukan jenayah.”
Dakwaan Salah Guna Kuasa & Isu Kamera Badan RM2.3 Juta
Beliau turut membangkitkan isu kenderaan JPJ jenis Toyota Fortuner yang kononnya tidak didaftarkan mengikut semakan mereka serta pembelian 100 unit kamera badan bernilai RM2.3 juta.
“Kalau dah beli, mengapa tunggu bulan November untuk guna? Kiamat baru nak pakai?” katanya sinis.
Bersedia Anjur Gerakan Besar-besaran 2.0
Jika isu berkenaan tidak diberi perhatian segera, Dr. Kalaivanar memberi amaran bahawa pihaknya bersedia menggerakkan Gerakan Besar-besaran 2.0, melibatkan pengusaha lori dan pemandu lori dari semua kaum.
“Kita bukan ugut. Ini negara demokrasi. Ini bukan isu politik, ini isu rakyat mencari sesuap nasi,” jelasnya.
Beliau menegaskan tindakan kementerian yang menurutnya menganiaya pemandu lori adalah tidak wajar dan mendesak Menteri Pengangkutan meletakkan jawatan jika gagal menangani masalah berkenaan.
“Kalau tak mampu buat kerja, letak jawatan. Bagi orang yang lebih pintar,” katanya.
#AATVNews #IsuLoriMalaysia #PengusahaLoriTertekan #AnthonyLoke #JPJMalaysia #KementerianPengangkutan #GerakanLori2 #SuaraRakyat #KezalimanPenguatkuasaan #ReformPengangkutan