KUALA LUMPUR, 11 Disember 2025 — Seorang lelaki dari Klang kini hidup dalam keadaan tertekan dan trauma selepas mendakwa ditipu oleh seorang pegawai bank ketika membuat urusan berkaitan simpanan tetap di sebuah cawangan Ambank Bandar Puteri, Klang. Kes ini kini mendapat perhatian Dato’ Dr Kalaivanar, Aktivis Sosial merangkap wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, yang tampil membawa memorandum rasmi bagi menuntut siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa.

Mangsa, Saravanan A/L Thangarajoo, mendakwa beliau telah melaburkan sebanyak RM30,000 dalam skim simpanan tetap di Ambank sejak 2018. Namun pada 30 Disember 2024, ketika hadir bersama isterinya untuk menguruskan faedah simpanan, mereka didatangi seorang kakitangan bank dikenali sebagai Nerrmaladevi A/L Renganaickam, yang juga seorang Banca Specialist.

Menurut kenyataan dalam memorandum, pegawai tersebut didakwa mempengaruhi Saravanan untuk memasukkan RM30,000 tambahan ke dalam satu lagi skim yang dikatakan sebagai simpanan tetap dengan pulangan bunga tinggi. Namun mangsa mendakwa tidak dimaklumkan langsung bahawa wang tersebut sebenarnya disalurkan ke dalam skim insurans, bukannya simpanan tetap seperti yang didakwakan.

Disebabkan kurang berpelajaran dan terlalu percaya kepada penerangan pegawai bank tersebut, Saravanan mengakui beliau menandatangani dokumen tanpa membaca syarat yang sebenar. Beliau hanya diberitahu untuk pulang dan ambil resit pada hari berikutnya – satu tindakan yang kini dianggap sebagai permulaan kepada penderitaan mental yang dialaminya.

Sejak menyedari wujudnya penipuan, Saravanan dikatakan telah beberapa kali memohon bantuan pengurusan cawangan Ambank berkenaan untuk membatalkan polisi insurans tersebut, namun usaha itu gagal. Kes ini turut menimbulkan syak wujud komplot dalaman atau kecuaian terancang oleh pihak bank.

Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara dalam kenyataan tegas memohon campur tangan Gabenor Bank Negara Malaysia untuk mengadakan siasatan terperinci serta mengambil tindakan terhadap pihak Ambank dan individu terlibat. Mereka turut menggesa agar Ombudsman menjalankan siasatan mengikut prosedur penguatkuasaan yang sewajarnya.

“Ini bukan isu individu – ini isu integriti sistem kewangan. Mangsa kini hidup dalam tekanan mental dan trauma akibat dipermain oleh pihak yang sepatutnya melindungi pelanggan,” tegas Dato’ Dr Kalaivanar dalam kenyataannya.

Sekretariat itu menutup kenyataan mereka dengan seruan solidariti dan keprihatinan supaya keadilan ditegakkan tanpa kompromi.

#AATVMedia #IsuSemasa #SkandalBank #KeadilanUntukSaravanan #BankNegaraMalaysia #Ambank #PenggunaTertindas #BahanaKesetiaanNegara #IntegritiKewangan #BeritaTerkini

Leave a Reply