Mahkamah Dah Sahkan Addendum Wujud, Kenapa Tak Laksana? – Noh Omar Persoal Kerajaan

PUTRAJAYA, 10 Disember 2025 – Bekas Menteri, Tan Sri Noh Omar, sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan bersikap tidak adil dalam isu Addendum bagi tahanan rumah melibatkan Dato’ Sri Najib Razak, sambil mendakwa pihak tertentu sengaja melengah-lengahkan pelaksanaan keputusan tersebut.

Menurut Noh, keputusan mahkamah sebelum ini jelas mengesahkan bahawa Addendum itu wujud, namun kerajaan didakwa cuba “menafikan” perkara tersebut sebelum akhirnya Mahkamah Persekutuan mengesahkan kewujudannya.

“Addendum ini salah satu sebab saya terpaksa masuk parti politik, saya kecewa dengan tindakan kerajaan mengenai isu Addendum Dato’ Sri Najib,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan kerajaan yang berterusan membawa isu itu ke mahkamah sebagai tidak menghormati keputusan badan kehakiman mahupun titah Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau ikhlas dan menghormati keputusan mahkamah serta Titah Agung, mengapa tidak dilaksanakan saja? Mengapa perlu dibawa lagi ke mahkamah?” soal Noh.

Noh juga mendakwa sekiranya keputusan akan datang memihak kepada Najib, Peguam Negara dijangka akan membuat rayuan, menyebabkan proses berlarutan dari Mahkamah Rayuan hingga ke Mahkamah Persekutuan, sekali lagi menangguhkan pelaksanaan Addendum tersebut.

Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan tahanan rumah tidak memerlukan proses rumit kerana ia hanya melibatkan keputusan kabinet dan tindakan susulan oleh Jabatan Penjara.

“Kalau kabinet buat keputusan, PM kata ‘ok laksanakan’, ia hanya melibatkan Jabatan Penjara untuk dilaksana,” ujar Noh.

Di akhir kenyataannya, Noh menyimpulkan bahawa apa yang berlaku menggambarkan kerajaan kini “takut dengan kebangkitan Datuk Seri Najib”.

#AATVMedia #IsuAddendum #NajibRazak #TanSriNohOmar #KeadilanUntukNajib #PolitikMalaysia #MahkamahPersekutuan #TahananRumah #BeritaSemasa #KerajaanHariIni

Leave a Reply