KUALA LUMPUR, 15 Disember 2025 — Aktivis sosial, Datuk Dr. Kalaivanar dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, hari ini menggesa pihak kerajaan agar menjalankan siasatan terperinci terhadap perancangan pembinaan sebuah pusat dialisis oleh Yayasan St. John’s Ambulance Malaysia di Bandar Baru Kampar, Perak, yang didakwa menimbulkan persoalan dari segi status kebajikan dan kelulusan guna tanah.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tepat jam 5.50 petang dari Kuala Lumpur, beliau mempersoalkan dakwaan yayasan berkenaan yang menyifatkan operasi dialisis mereka sebagai “charitable service” atau perkhidmatan kebajikan, sedangkan rawatan yang dikenakan didakwa tidak percuma.
Menurut beliau, surat rasmi yayasan tersebut menyatakan bahawa perkhidmatan dialisis itu bertujuan membantu pesakit berpendapatan rendah dan sederhana dengan bayaran minimum bagi memastikan rawatan berterusan. Namun begitu, Datuk Dr. Kalaivanar mendakwa beliau sendiri pernah menaja rawatan dialisis beberapa pesakit dengan kos mencecah RM2,500 sebulan bagi setiap pesakit, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap penggunaan istilah “charitable service”.
“Sekiranya benar ia perkhidmatan kebajikan, mengapa pesakit masih dibebankan dengan kos rawatan yang tinggi?” soalnya.
Beliau turut mendakwa Yayasan St. John’s Ambulance Malaysia merupakan antara yayasan yang mempunyai sumber kewangan kukuh, termasuk menerima dana dari luar negara serta hasil kutipan dana awam melalui pelbagai acara berskala besar.
Selain isu caj rawatan, beliau juga membangkitkan kebimbangan berhubung cadangan pembinaan pusat dialisis tersebut yang didakwa terletak di kawasan padang yang dipercayai telah digazetkan, sama ada di bawah pihak berkuasa tempatan atau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Sehubungan itu, beliau menggesa KPKT agar menyiasat secara terperinci bagaimana kelulusan pembinaan boleh diberikan, sekiranya benar kawasan tersebut merupakan tanah awam yang telah digazetkan.
Datuk Dr. Kalaivanar turut menyeru orang ramai agar lebih peka terhadap isu penggunaan label organisasi kebajikan, termasuk aktiviti kutipan dana melibatkan penjualan bendera di sekolah-sekolah.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan memohon campur tangan kerajaan Persekutuan, termasuk Perdana Menteri, untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua perkara yang dibangkitkan demi ketelusan dan kepentingan rakyat.
#AATVMedia #IsuRakyat #DialisisMalaysia #Ketelusan #KebajikanDipertikai #StJohnsMalaysia #SiasatanKerajaan #HakRakyat #BeritaTular #AktivisSosial